Intipati Ucapan Ketua Pergerakan Wanita UMNO
KUALA LUMPUR - Berikut antara intipati ucapan Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil sempena perhimpunan pergerakan itu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini semalam (Rabu).
1. Hasil keputusan PRU-12 memberi pengajaran besar dan ia adalah satu "wake-up call" supaya kita tidak lagi leka. Banyak cabaran yang perlu dihadapi di hadapan, termasuk kesan krisis politik dunia yang juga melimpah ke negara ini.
2. Rakyat tidak boleh bergantung kepada pembangkang kerana selain tiada pengalaman memerintah, mereka juga parti tidak moderate, rigid dan mempunyai sikap politik menakutkan - mengutuk, mengeji dan memfitnah musuh mereka. Para pemimpin pembangkang tidak henti-henti menimbulkan isu-isu remeh yang boleh memecahbelahkan Melayu.
3. Pada PRU-12, BN menghadapi masalah besar dalam kawasan parlimen campuran. Justeru, bagi menghadapi PRU-13, BN perlu merapatkan kesenjangan antara Melayu dan bukan Melayu, tetapi juga mengelak perpecahan dalam UMNO.
4. Kita juga menghadapi cabaran untuk menjaga kuasa Melayu yang kedudukan umpama telur di hujung tanduk. Perpecahan undi Melayu melunturkan kuasa politik Melayu sedia ada. Jika UMNO lemah maka risikonya akan turut dirasai semua kaum.
5. UMNO perlu menghadapi tohmahan Pas bahawa orang UMNO korup dan tidak mengimarahkan masjid dengan membuktikan sebaliknya.
6. UMNO juga perlu menarik pengundi muda dan pengundi Melayu agar mendaftar dan menyokong kita. Jika adanya perpecahan di kalangan orang Melayu, maka kaum lain akan menjadi penetu keputusan PRU-13.
7. Justeru, Wanita UMNO perlu memainkan peranan memastikan semua ahli keluarga mereka mendaftar sebagai ahli parti, mendaftar sebagai pengundi dan memberikan undi kepada BN.
8. UMNO perlu menyesuaikan pendekatan politik sesuai dengan tuntutan semasa. Namun apa yang menjadi persoalan ialah sama ada UMNO boleh membuat perubahan tersebut dan kaedah untuk membuat perubahan pada parti.
9. Jika UMNO gagal menangani perubahan maka UMNO tidak lagi relevan dan akan ditolak rakyat selain mengonyangkan kestabilan politik negara, termasuk berulangnya peristiwa 13 Mei.
10. UMNO perlu mengambil langkah bagi memastikan perkara itu tidak berlaku, iaitu: a) memastikan perut rakyat sentiasa kenyang dengan meringankan beban hidup mereka, b) perkuatkan ekonomi orang Melayu, c) meningkatkan taraf pendidikan orang Melayu d) mendekati pengundi muda tanpa menceroboh intelek mereka. -UTUSAN
0 comments:
Catat Ulasan