Isu Sampah Di Selangor Jadi Topik Hangat Sidang DUN


SHAH ALAM - Isu kutipan sampah yang didakwa tidak dipungut oleh pihak berkuasa tempatan di Selangor, negeri yang diterajui kerajaan pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR), menjadi perdebatan hangat antara seorang anggota exco dan dua wakil rakyat pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini. 

Perdebatan itu tercetus apabila Saari Sungib (PAS-Hulu Klang) menyifatkan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan negeri, Ronnie Liu Tian Khiew tidak faham dengan masalah sampah yang berlaku di negeri itu.

Saari turut mendakwa wujudnya kontraktor di kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) tidak mengutip sampah mengikut jadual yang sepatutnya. 

"Adakah exco tahu masalah sampah di Hulu Klang. Sepatutnya kena hargai rakyat yang membayar cukai kepada MPAJ," kata Shaari ketika bangun mencelah semasa Liu menggulung perbahasan mengenai Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan 2013 pada sidang DUN di sini hari ini. 

Liu kemudian membidas Saari dengan menegaskan masalah kutipan sampah di Hulu Klang bukan berpunca kelemahan sistem yang diguna pakai oleh pihak berkuasa tempatan ketika ini, sebaliknya akibat kontraktor yang dilantik. 

Sementara itu, Datuk Johan Abdul Aziz (BN-Semenyih) yang bangun mencelah, berkata alasan Liu tidak boleh diterima sama sekali kerana kontraktor yang dilantik sudah menjalankan tugas selama lapan bulan dan seharusnya sudah dapat menyediakan perkhidmatan yang baik. 

"Sebagai contoh, kawasan saya sendiri iaitu di Desa Mutiara Sungai Jeluk mengalami masalah sampah yang tidak dikutip berbulan-bulan.

"Saya tanya penduduk, (mereka kata) aduan sudah banyak kali dibuat, tetapi masih berdepan masalah ini, iaitu kontraktor gagal menjalankan kerja dengan sempurna," katanya. -BERNAMA

0 comments:

Catat Ulasan