UMNO Tidak Amalkan Rasis!


Kuala Lumpur - Datuk Seri Najib Razak berkata kesungguhan UMNO untuk memupuk perpaduan di kalangan orang Melayu bukan bererti parti itu rasis dan menentang kaum lain di negara ini. 

Menepis dakwaan UMNO sebagai parti rasis, Presiden UMNO itu menegaskan, parti berkenaan sentiasa berpegang bahawa kekuatan negara harus berpaksi kepada kerjasama antara kaum.

“Perpaduan Melayu bukan bererti kita menentang kaum lain... kita mesti bawa kaum lain bersama kita. 

Semangat ini kita dah bawa sejak dari zaman Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak... kenapa kita hendak ketepikan apa yang diasaskan pemimpin pengasas kita.

“Kalau kita tidak mahu kerjasama kaum lain, Tunku (Abdul Rahman) tidak akan buat (parti) Perikatan, Tun (Abdul) Razak tidak akan buat BN, tetapi mereka buat sebab kita tahu kekuatan negara kita mesti berpaksi kepada kerjasama antara kaum. Itu kita mesti pegang,” katanya dalam wawancara khas sempena Perhimpunan Agung UMNO 2012.

Najib berkata, tuduhan rasis adalah dakyah pembangkang untuk menjatuhkan UMNO, namun langkah perlu diambil untuk memperbetulkan persepsi itu.

Najib berkata, dalam konteks keadilan beliau berpegang teguh kepada prinsip Islam yang menuntut seorang pemimpin untuk sentiasa berlaku adil kepada semua pihak.

Saya berpegang kepada prinsip Islam. Tuhan kata kita mesti berlaku adil sebagai pemimpin dan Tuhan tidak kata kepada orang Islam saja. Sebab itu kita tidak boleh bolot semua kerana orang lain pun menyumbang kepada negara.

Orang India dengan estetnya, dengan jalan raya yang dibina, orang Cina dengan keusahawanannya, sumbangan dalam bidang perniagaan untuk negara kita dan mereka juga membayar cukai.

Asalkan kita faham perkara ini. Apa yang kita hendak tolong orang Melayu kita tolong, apa yang kita hendak tolong orang Cina dan India kita tolong secara adil dan saksama, katanya.

Penting juga, kata Najib untuk memastikan masyarakat Bumiputera bukan Islam di Sabah dan Sarawak serta kaum orang Asli tidak terpinggir kerana mereka juga mempunyai hak untuk mendapat keadilan di negara ini.

Mengenai agenda Bumiputera, Najib berkata, ia perlu diteruskan bagi menjamin penduduk majoriti negara ini tidak terpinggir daripada pembangunan dan kemajuan.

Dalam pada itu, Najib berkata, patuh kepada disiplin organisasi adalah antara penentu kemenangan UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum akan datang. 

Presiden UMNO berkata, walaupun mempunyai bilangan anggota yang ramai, UMNO sebagai parti tunjang Melayu bakal tewas jika anggotanya tidak memiliki disiplin organisasi yang mantap.

Menerusi disiplin organisasi yang mantap, UMNO dengan keanggotaannya melebihi tiga juta orang mampu turun berperang secara tersusun dalam satu ikatan kepemimpinan utuh bersama kekuatan yang sedia dimiliki, katanya.

Beliau berkata, Perhimpunan Agung UMNO 2012 bakal memberi isyarat bahawa parti itu sudah siapsiaga untuk menghadapi pilihan raya, bahawa ia sudah bangkit semula dengan lebih gagah, berdisiplin dan padu.

Katanya, perhimpunan 5,447 perwakilan parti itu seharusnya menggambarkan sebuah parti yang sudah bersedia dalam erti kata yang sebenar, secara komprehensif dan menyeluruh. -BH

0 comments:

Catat Ulasan