DAP Bakal Menjadi Punca Persengketaan Pembangkang
PASIR GUDANG - Kenyataan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng yang secara terbuka mahukan dua sekutunya, PAS dan PKR, memberi parti itu 13 kerusi tambahan untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-13, bakal menjadi punca pergolakan pakatan pembangkang.
Ketua Umno Bahagian Pasir Gudang Datuk Seri Khaled Nordin berkata keadaan itu menggambarkan DAP ingin mendominasi pakatan pembangkang.
"Saya percaya DAP beranggapan di kalangan parti pembangkang lain mereka merupakan parti yang terkuat, sebab itu mereka berani membuat tuntutan tersebut.
"Ini akan menjadi asas kepada perbalahan mereka," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyampaian hadiah sempena Program Gerak Mesra Perdana Majlis Perbandaran Pasir Gudang di sini hari ini.
Menteri Pengajian Tinggi itu mengulas kenyataan Lim yang mahukan tambahan 13 kerusi - tiga Parlimen dan 10 Dewan Undangan Negeri (DUN) - pada Pilihan Raya Umum berkenaan.
Lim membuat permintaan itu ketika berucap di Kongres Kebangsaan ke-16 DAP di Pulau Pinang semalam atas alasan semangat setiakawan.
Pada Pilihan Raya Umum 2008, DAP bertanding bagi 47 kerusi Parlimen dan 102 kerusi DUN. -BERNAMA
0 comments:
Catat Ulasan