Jentera PRU13 Umno Negeri Sembilan Perlu Diperkemas!


PORT DICKSON - Jentera pilihan raya Umno Negeri Sembilan perlu diperkemaskan lagi walaupun sebahagian besar daripadanya telah bersiap sedia menghadapi pilihan raya umum akan datang, kata Ketua Penerangan Badan Perhubungan Umno Negeri Sembilan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.
   
Ia perlu diperkemaskan bagi memastikan supaya tidak ada sebarang kekurangan yang boleh merugikan parti ketika pilihan raya nanti, katanya.
   
"Hasrat kita kalau boleh apabila Parlimen dibubarkan, jentera pilihan raya kita dah jalan....tidak ada lagi baru nak mesyuarat dan sebagainya. Maknanya kita mesti perkemas, sebaik sahaja dibubarkan, jentera pilihan raya telah pun siap, tidak ada masalah dan terus kita menjalankan kerja-kerja," katanay kepada pemberita selepas menutup program 'Suasana Hijrah Pada Hari Ini' di sini, semalam (Khamis).
   
Sementara itu, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu berkata bagi mereka yang tidak dicalonkan dan bagi mereka yang pernah menjadi calon tetapi tidak dicalonkan semula mesti menyokong Umno dan Barisan Nasional (BN).
   
"Bila pilihan raya kita tidak berjuang secara individu, tapi kita berjuang dalam kelompok parti kita. Kalau kita menang, bermakna parti kita menang, dan kalau kita kalah, bermakna parti kita kalah.

"Ini mesti kita ingat, kalah pilihan raya bukan kalah individu, tapi kalah sebagai sebuah parti kerana itu kita berusaha seboleh-bolehnya kita tidak kalah. Kalau semua mengamalkan sikap dan menghayati seperti mana apa yang disebutkan oleh Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak pada perhimpunan agung Umno baru-baru ini maka Umno dan BN akan bertambah kuat untuk menghadapi pilihan raya," katanya.
   
Mohd Isa turut mengingatkan semua anggota parti supaya mengelakkan perbalahan semasa menghadapi pilihan raya.
   
"Mungkin berbalah pendapat satu faktor biasa tapi dalam pilihan raya kita tidak patut berbalah. Yang penting kita kukuh bersatu-padu dan fokus menghadapi musuh (pembangkang)," katanya. -BERNAMA

0 comments:

Catat Ulasan