Kejayaan Program Transformasi Ekonomi Yang Tidak Mungkin Ada Dalam Ceramah Pembangkang
Malaysia Tangga Ke-71 Kebebasan Ekonomi Dalam Laporan Dunia
KUALA LUMPUR : Malaysia menduduki tempat ke-71 dalam kalangan 144 negara dalam Laporan Tahunan 2012: Kebebasan Ekonomi Dunia, yang dikeluarkan hari ini oleh Institut bagi Hal Ehwal Demokrasi dan Ekonomi (Ideas).
Laporan itu dikeluarkan dengan usaha sama Fraser Institute Kanada dan 86 golongan pemikir dunia.
Malaysia membuat kemajuan yang baik apabila menduduki tempat ke-71 tahun ini berbanding tempat ke-78 pada 2011, kata Ketua Eksekutif Ideas, Wan Saiful Wan Jan dalam satu kenyataan di sini.
"Laporan ini sebenarnya sangat penting untuk Malaysia memandangkan ia mengukur prestasi kita dalam tahun ini selepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan Model Baru Ekonomi (NEM) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP)," katanya.
Indeks Kebebasan Ekonomi tertangguh dua tahun berikutan kelewatan penyiaran data global.
Laporan yang kami keluarkan sekarang mengukur prestasi kita pada 2010, kata Wan Saiful.
"Peningkatan kedudukan ini menunjukkan agenda ekonomi kerajaan berjaya meningkatkan ranking kita yang susut sejak beberapa dekad lalu.
"Saya yakin NEM dan ETP menghasilkan impak positif pada tahap kebebasan ekonomi," katanya.
Wan Saiful berharap kerajaan akan terus komited dalam meliberalisasikan semangat NEM.
Beliau berkata kerajaan juga mesti mengelak kecenderungan menawarkan habuan populis dan subsidi menjelang pilihan raya umum memandangkan ia memberikan impak negatif ke atas kedudukan Malaysia di peringkat dunia.
Laporan kali ini juga menunjukkan sistem ekonomi yang lebih liberal berkait rapat dengan pendapatan per kapita yang lebih tinggi serta pertumbuhan ekonomi, katanya.
"Ini bermakna kita boleh meningkatkan kualiti hidup golongan miskin di Malaysia jika kita terus komited dalam meliberalisasikan lagi ekonomi," katanya.
Hong Kong sekali lagi mendominasi ranking 144 negara. Kedudukan ekonomi utama lain termasuk Amerika Syarikat (18), Jepun (20), Jerman (31), Perancis (47), Itali (83), Rusia (95), Brazil (105), China (107), dan India (111). -BERNAMA
0 comments:
Catat Ulasan