Nasib Melayu Pulau Pinang Contoh Padah Jika PR Memerintah


KUALA LUMPUR : Nasib orang Melayu terpinggir di Pulau Pinang wajar menjadi contoh mengenai padah yang akan diterima rakyat, terutamanya orang Melayu jika pembangkang dibenarkan memerintah negara ini, kata seorang perwakilan Persidangan UMNO 2012 semalam (Jumaat). 

Wakil Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Saibu berkata Melayu di bawah pemerintahan DAP terpaksa berdepan pelbagai cabaran termasuk perpecahan ummah, perniagaan ditindas dan kampung Melayu diceroboh untuk memberi kesenangan kepada pihak tertentu. 

Ketika membahaskan usul Ucapan Dasar Presiden, beliau berkata, pemilihan Jawatankuasa Khariah Masjid secara mengundi pula adalah perbuatan khianat DAP untuk memecahkan perpaduan ummah dengan memperalatkan PAS untuk menghancurkan Melayu Pulau Pinang. 

Peniaga Melayu Pulau Pinang pula, katanya, disekat daripada menjalankan perniagaan dengan pelbagai alasan dan tindakan. 

"Tidak seperti di zaman Barisan Nasional dahulu di mana gerai-gerai tumbuh bagaikan cendawan, memberi peluang kepada semua peniaga kecil semua kaum berniaga tanpa diganggu oleh pegawai penguatkuasa. 

"Tetapi di bawah pemerintahan DAP banyak gerai peniagaan Melayu bukan sahaja diroboh, malahan ditekan dengan lebih hebat sehingga mereka hilang mata pencarian," katanya. -BERNAMA

0 comments:

Catat Ulasan