Tiada Sabotaj, BN Boleh Menang Bergaya


SHAH ALAM – Barisan Nasional (BN) boleh menang besar dan bergaya pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) berdasarkan kemantapan struktur dan sistem yang ditunjukkan di peringkat akar umbi, demikian menurut beberapa pemimpin Umno.

Tetapi syaratnya tidak harus ada unsur-unsur sabotaj!

“Gerak kerja untuk mengukuhkan jentera parti dari peringkat kebangsaan, negeri hinggalah ke daerah, masing-masing sudah faham dengan tanggungjawab yang telah diamanahkan, tinggal lagi untuk menggerakkannya sahaja," kata ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Idris Haron kepada Sinar Harian Online, hari ini.

Idris berkata: "Malah kalau dilihat dari ukuran siap siaga struktur dan strategi parti, tidak ada sebab mengapa BN tak boleh menang besar.”

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan pensyarah di Jabatan Pengajian Strategik dan Antarabangsa, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya, Prof Datuk Mohamad Abu Bakar yang berpendapat bahawa kali ini BN akan terus menang di peringkat nasional.

Cuma BN mungkin tidak dapat menguasai dua per tiga majoriti seperti mana yang diidam-idamkan.

Malah katanya, pembangkang diramalkan sama ada dapat mengekalkan kuasa mereka diempat negeri tersebut atau menambah undi.

Mengulas lanjut perkara itu, Idris yang juga Ahli Parlimen Tangga Batu berkata, pada ketika ini BN amat peka terhadap mana-mana kajian, pandangan atau statistik yang dibuat oleh mana-mana agensi mengenai ramalan PRU13.

Beliau menambah, BN turut menggerakkan gerak kerja untuk mengukur sokongan pengundi terhadap BN.

“Input-input yang diterima dijadikan panduan. Kalau kata menang tipis, kita akan lipat gandakan kerja tapi kalau kata menang besar dibawah pacuan pimpinan tertinggi BN, kita juga tidak akan merasa selesa dengan kenyataan itu.

“Malah gerak kerja dari akar umbi hingga ke peringkat persekutuan juga kini berada dalam keadaan terbaik ketika ini dan bersepadu. Hal ini tidak dapat dilihat dalam Pakatan Rakyat (PR),” katanya lagi.

Perkasa yang sama ditekankan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika menyampaikan ucapan penangguhan Perhimpunan Agung Umno 2012 pada 1 Disember lalu.

Mengulas lanjut, Idris berkata, komen Mohamad harus disambut baik sebagai satu hasil dapatan daripada pihak beliau.

Kata Idris, pandangan tersebut merupakan salah satu daripada beberapa dapatan dari banyak pihak.

“Kita tak menolak dan tak juga terima bulat-bulat... tapi kita ambil berat tentang apa yang diperkatakan,” ujarnya pemimpin muda ini.

Mengulas perkara sama, seorang lagi ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, pandangan Mohamad agak selari dengan beberapa dapatan daripada beberapa kajian lain.

Bagaimanapun katanya, tiga perkara penting yang disebut termasuklah, BN diramal akan memenangi PRU13, dua pertiga dalam Parlimen sukar diraih dan ada kemungkinan BN menang jumlah kerusi Parlimen, tetapi dengan undi popular di bawah 50 peratus.

“Bagi BN, dalam saat-saat akhir ini, fokus perlu diberi terhadap pengundi atas pagar, yang saya gelar 'golongan pertengahan' iaitu 30 peratus daripada jumlah pengundi.

“Golongan ini akan menjadi penentu yang signifikan terutamanya dalam kawasan-kawasan yang keputusan PRU12 dulu ditentukan oleh majoriti yg kecil,” jelas beliau yang seringkali menekankan tentang keperluan politik baru dalam Umno dan BN.

Ujarnya lagi, oleh itu, BN perlu menangani isu-isu khusus yang menjadi pengharapan golongan tersebut.

“Ia perlu pula disampaikan dengan pendekatan yang berhemah,” katanya lagi. -SH

0 comments:

Catat Ulasan