Pembebasan Anwar #901: Hikmah Yang Tersembunyi??
Pembebasan dari kes liwat yang panjang, dan hampir tiada penghujung adalah satu kemenangan yang penuh drama bagi Anwar Ibrahim. Tetapi, benarkah ia satu kemenangan?
Sedar atau tidak, kebanyakan penyokong-penyokong Anwar tidak lagi kelihatan segembira sepertimana keputusan mula-mula diumumkan. Malah, peguamnya juga menasihatinya agar tidak terlalu menonjol.
Setelah masing-masing memahami kebenaran, terpancarlah kemarahan yang tidak dapat dijelaskan, sebelum hanya kesunyian yang melanda di kalangan penyokong-penyokongnya.
Sebaliknya, di pihak mereka yang membenci Anwar atas segala masalah yang dibawanya terhadap negara ini iaitu mengheret rakyat ke dalam kes liwatnya, meluahkan rasa lega kerana mereka kini dapat meneruskan kehidupan seharian tanpa perlu bimbang mengenai demonstrasi jalanan mahupun keganasan yang dilakukan oleh penyokong-penyokong Anwar. Dunia sedia maklum bahawa Anwar akan memastikan huru-hara besar-besaran dan akhirnya kemusnahan Malaysia sekiranya beliau didapati bersalah. Iaitu satu sikap yang amat tidak konsisten dengan dakwaan kononnya dialah Muslim sejati serta pemimpin contoh lagi mulia…
Sama ada keputusan itu adalah strategi politik yang bijak bagi memastikan kestabilan negara, atau ia adalah keputusan hakim sendiri yang tidak dipengaruhi sesiapa, adalah tidak penting lagi.
Walaupun rakyat biasa yang rasional merasa simpati terhadap Saiful atas segala penderitaan yang dilaluinya, mereka sepakat telah tidak sanggup lagi untuk menonton drama Anwar yang memuakkan.
Kerajaan Malaysia juga kelihatan lega dengan keputusan tersebut dan dapatlah segala tenaga difokuskan bagi berbuat yang terbaik untuk negara, dengan harapan tiada lagi gangguan dari Anwar Ibrahim. Ada yang berpendapat yang pembebasan Anwar adalah bencana besar bagi BN dalam PRU akan datang, namun kita pasti bukanlah mudah untuk Anwar merombak keseluruhan strateginya apabila dia bukan lagi ‘mangsa konspirasi’.
Lalu, siapa sebenarnya yang menang dalam kes Anwar? Pastinya ia tidak kelihatan seperti Anwar.
Majalah dari London, The Economist, menulis bahawa walaupun Anwar bebas, nama baiknya telah rosak dan di usia 64 tahun, beliau kelihatan sebagai pemimpin yang semakin jauh dan tidak boleh dipercayai di kalangan orang-orang muda. Majalah itu juga menyebut bagaimana Anwar telah menjadikan parti PKR sebagai urusan keluarga yang penuh dengan pertelingkahan dalaman dan bukannya sebagai sebuah parti yang bertenaga lagi moden.
Ia juga bersetuju bahawa keputusan bersalah akan memberi lebih banyak alasan kepada Anwar untuk berjuang kerana sekurang-kurangnya beliau boleh terus memainkan peranan sebagai ‘pejuang jihad’ dari penjara.
Anwar telah berusaha keras untuk menonjolkan imej sebagai mangsa kekejaman, ketidakadilan dan penganiayaan sebagai asas perjuangannya. Kini setelah bebas secara tiba-tiba, beliau tidak punya alasan lagi untuk berjuang.
Lebih buruk lagi, telah terbuktilah kini bahawa kerajaan tidak pernah berkonspirasi atau berusaha untuk menjatuhkan atau memusnahkannya. Dunia kini melihat Anwar sebagai pembohong tegar yang sebenarnya takut jika rakyat, terutamanya penyokong yang beragama Islam serta pemimpin PAS, mendapat tahu rahsianya. Segala tuduhan konspirasi terhadap kerajaan selama ini adalah semata-mata untuk menutup kebenaran bahawa beliau terlibat dalam seks songsang secara aktif, yang mana adalah satu jenayah di Malaysia, sesuatu yang taboo dalam budaya Asia dan dosa besar dalam Islam.
The Economist juga menyatakan bahawa pembangkang di Malaysia kini terpaksa menerima Anwar sebagai pemimpin mereka entah sampai bila sedangkan Anwar sudah begitu lemah untuk menjadi ancaman kepada kerajaan. Anwar merupakan beban kekal kepada pembangkang.
Membaca artikel tersebut dari sudut pandangan lain, mungkin juga tidak salah jika menyatakan bahawa Anwar kini tidak lagi berguna kepada barat. Beliau telah kehilangan kredibiliti untuk terus berjuang untuk dirinya, mahupun Tuannya di barat. Tentulah begitu jelas sekali kepura-puraannya jika beliau terus menyanyikan lagu konspirasi dan kekejaman kerajaan sedangkan beliau sudah bebas malah sentiasa bebas walaupun sebelum kes ini selesai.
Anwar mungkin telah menang kes ini setakat ini. Tetapi beliau telah kehilangan lebih dari sekadar kredibilitinya. Beliau telah kehilangan arah untuk meneruskan kehidupannya iaitu untuk mencapai matlamat menjadi Perdana Menteri. Percayalah, perjuangannya selama ini tidak pernah bermatlamatkan kesejahteraan rakyat, ia sentiasa bermatlamatkan cita-cita peribadi atau pun urusan keluarga semata-mata – sejak dari mula lagi.
-myhubnews
0 comments:
Catat Ulasan