Elak Penyelewengan - Dana Politik Ke Akaun Rasmi! - @NajibRazak

NAJIB merasmikan program Pegawai Integriti Bertauliah
anjuran SPRM, di Putrajaya, semalam.

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Razak berkata, semua sumbangan dana politik mesti disalurkan melalui akaun rasmi parti bagi mengelak ahli politik menyalahgunakan nama parti untuk meminta sumbangan dan kemudian diseleweng untuk kepentingan sendiri.

Perdana Menteri berkata, inisiatif baru yang diperkenalkan di bawah Program Transformasi Kerajaan (GTP) itu juga bertujuan menangani isu berkaitan dana politik supaya ia lebih tepat, telus dan jelas, sekali gus meningkatkan ketelusan serta keyakinan rakyat terhadap parti politik di negara ini .

Katanya, sumbangan dana itu juga akan melalui rekod penerimaan yang teratur dengan resit penerimaan wang dan boleh diaudit pada akhir tahun kewangan.

Kerajaan percaya inisiatif ini akan mengelakkan perbuatan rasuah dan penyelewengan pada peringkat akar umbi dan manfaat sumbangan dapat disampaikan kepada segenap peringkat parti dan seterusnya rakyat, katanya pada majlis perasmian dan penyampaian sijil Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) anjuran Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), di sini semalam.

Pandangan berkaitan pengawalan dana politik itu dikemukakan Jawatankuasa Mencegah Rasuah dan Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah SPRM sebelum ini.

Najib berkata, jenayah rasuah tidak ada kaitan dengan fahaman politik, kepartian, status, kedudukan atau bangsa.

"Ia adalah kesalahan yang amat serius, melanggar undang-undang negara dan hukum agama. Sesiapa yang terbabit rasuah dan terbukti bersalah, wajar menerima hukuman, katanya.
Bagaimanapun, katanya, menuduh seseorang melakukan rasuah tanpa asas dan bertujuan membunuh karakter tanpa bukti adalah kesalahan besar.

Janganlah kita menggunakan rasuah untuk menjatuhkan seseorang. Jika rasuah dipolitikkan, tindakan SPRM dipolitikkan akan membawa natijah yang amat besar dan buruk, katanya.

Pada majlis itu, Najib menyampaikan CeIO kepada 24 penerima terdiri daripada pegawai kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan.

Najib berkata, bagi memastikan undang-undang di Malaysia telus dan mengambil kira pandangan setiap pihak sebelum dikuatkuasakan, kerajaan bercadang memaparkan draf rang undang-undang dalam laman web bagi mendapatkan pandangan umum dan pihak yang berkaitan bagi tempoh yang ditetapkan sebelum dimuktamadkan. -BH

0 comments:

Catat Ulasan