Gerakan Tukar Kerajaan PAS Kelantan!!


KOTA BHARU 4 Feb. - Sekumpulan badan bukan kerajaan (NGO) dan penduduk negeri ini bergabung melancarkan Gerakan Tukar Kerajaan Pas Kelantan Demi Rakyat (Tukar).

Gerakan tersebut bertujuan mengajak rakyat supaya menukar parti pemerintah di negeri ini pada pilihan raya umum akan datang bagi mengatasi pelbagai masalah yang timbul.

Pelancaran Tukar diumumkan secara rasmi selepas Konvensyen Media Sosial Kelantan di Auditorium Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Kelantan, di sini hari ini.

Konvensyen tersebut dihadiri kira-kira 1,500 pengamal media sosial dari seluruh negeri ini.

Pengerusi Tukar, Kamaruddin Kassim berkata, rakyat negeri ini telah memberi tempoh selama 21 tahun kepada Pas untuk memerintah tetapi tidak ada perubahan besar dilakukan, malah, masalah asas masih tidak dapat diselesaikan.

"Slogan Tukar ialah 'acu test sepenggal', gerakan ini adalah satu manifestasi dan luahan rakyat Kelantan yang sudah jemu dengan pentadbiran kerajaan Pas Kelantan yang penuh retorik selama 21 tahun memerintah.

"Kita akan bangkitkan semangat rakyat untuk berubah dan memberi peluang kepada kerajaan baru selama sepenggal dan sekiranya Barisan Nasional (BN) gagal untuk menunjukkan prestasi yang baik maka, terpulang kepada rakyat untuk membuat keputusan seterusnya," katanya pada sidang akhbar selepas majlis tersebut.

Kamaruddin berkata, pihaknya akan mengadakan siri jelajah ke seluruh Kelantan untuk mengajak rakyat melakukan perubahan demi masa depan yang lebih baik.

Katanya, idea penubuhan gerakan tersebut adalah daripada rakyat sendiri selepas melihat kegagalan dan merasai sendiri perit jerih di bawah pemerintahan Pas.

"Kita hanya mengajak rakyat untuk mencuba pemerintahan BN hanya untuk satu penggal pada Pilihan Raya Umum Ke-13, sebagai tanda protes dan luahan rasa tidak puas hati terhadap segala janji yang tidak ditunai oleh Pas Kelantan," katanya. -um

0 comments:

Catat Ulasan