Kajian Sistem Pendidikan Negara Siap Tahun Depan - TPM


IPOH – Kajian tentang masalah kemerosotan minat pelajar mengambil jurusan sains dan matematik di sekolah dijangka siap awal tahun depan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perkara itu antara kajian semula sistem pendidikan negara secara menyeluruh yang sedang dilaksanakan kerajaan.

“Kajian menyeluruh sistem pendidikan dilakukan bagi mengenal pasti di mana kita telah berjaya dan di manakah kelemahan kita dalam sistem ini. Walaupun ada di beberapa peringkat kita telah mencatat kemajuan yang membanggakan tetapi ada beberapa pihak lain yang anggap kita terkebelakang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Pengurusan Pementoran Perkhidmatan Awam dan Majlis Dialog Timbalan Perdana Menteri Bersama Warga Pendidik Perak di sini hari ini.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, menerusi kajian itu kerajaan akan dapat mengenal pasti bidang yang perlu diberi lebih tumpuan.

Pada 9 Februari lalu media melaporkan satu jawatankuasa khas ditubuh bagi mengkaji punca serta penyelesaian kepada masalah kemerosotan minat pelajar untuk mengambil jurusan sains dan matematik di sekolah.

Arahan penubuhan jawatankuasa itu dikeluarkan oleh Muhyiddin pada mesyuarat pasca Kabinet Kementerian Pelajaran pada 8 Februari 2012.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi dipetik berkata, jawatankuasa khas itu diminta mengkaji secara menyeluruh termasuk memikirkan langkah bagi mencapai sasaran 60 peratus pelajar sains dan 40 peratus sastera.

Beliau dilapor berkata, “Kementerian memandang serius isu kemerosotan minat pelajar dalam bidang sains dan matematik iaitu hanya 37 peratus dalam bidang sains dan 29 peratus sahaja bagi sains tulen”. – mynewshub.my

0 comments:

Catat Ulasan