PANASSS... #TIBAI Bakal Tamatkan Karier Politik Anwar??


Pendedahan berterusan oleh Ahli-Ahli Majlis Syura Kelab Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim (TIBAI) mampu menjatuhkan Ketua Pembangkang itu daripada menjadi pemimpin utama negara ini.

Justeru, ceramah seperti yang dilakukan pada malam pelancaran TIBAI di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru malam tadi wajar diperluaskan ke seluruh negara untuk merealisasikan matlamat penubuhan kelab oleh bekas-bekas pemimpin dan pengasas Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu.

Seorang pengunjung yang menghadiri pelancaran kelab TIBAI, Arman Putera Asmuni, 39, berkata, majlis ceramah seumpama itu merupakan peluang terbaik untuk memberi peluang orang ramai mendengar dan menilai pendedahan dilakukan oleh individu yang pernah berjuang bersama Penasihat PKR itu.

"Selama ini saya hanya dengar daripada media dan hari ini saya mahu dengar sendiri daripada mulut orang yang pernah mengenali Anwar dan bekas sekutunya.

"Daripada apa yang dikongsi oleh penceramah malam ini, saya rasa pendedahan yang dihebahkan mengenai Anwar selama ini ada logiknya," katanya yang datang dari Shah Alam bersama tiga rakan pada majlis yang dirasmikan oleh Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali.

Hadir sama pada majlis itu ialah bekas Setiausaha Sulit Anwar, Anuar Shaari; Ahli Dewan Negara, Datuk S. Nallakaruppan; Ketua Penerangan Perkasa, Ruslan Kassim; bekas Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Ruhanie Ahmad; bekas pengasas PKR, Ng Yum Yong dan Pengerusi Gabungan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS), Hamidzun Khairuddin.

Arman berkata, pengakuan oleh kumpulan individu yang meninggalkan Anwar itu turut memberi bayangan mengenai ancaman bakal dihadapi negara sekiranya beliau diberi kuasa memerintah.

"Ceramah ini mencetuskan keraguan dan persoalan di hati saya sama ada Anwar menepati ciri-ciri pemimpin yang boleh memerintah negara seperti dilakukan pemimpin terdahulu.

"Sebagai rakyat, saya rasa kita berhak untuk mendengar dan menilai siapa sebenarnya orang yang sangat terdesak untuk menjadi pemimpin," katanya.

Selain itu, katanya, kehadirannya pada pelancaran TIBAI adalah sebagai sokongan terhadap usaha kelab tersebut yang selari dengan gerakan menentang penularan gejala lesbian, gay, biseksual dan transgender serta seks bebas.

Sementara itu, Norhayati Abu Hassan, 41, dari Klang menyokong penuh saranan Presiden Perkasa supaya TIBAI mengadakan siri ceramah ke seluruh negara untuk membuat pendedahan kepada orang ramai.

"Melalui ceramah oleh bekas rakan-rakan Anwar, kita boleh menilai pengalaman mereka. Yang mana baik kita ambil untuk jadikan pedoman.

"Tujuan saya datang malam ini pun bukan sekadar untuk dapatkan input baru tetapi sebagai sokongan yang tidak berbelah-bahagi supaya kempen ini berjaya mencapai matlamat," katanya.

Seorang lagi pengunjung dari Klang, Azmin Ali, 50, berkata, pendedahan oleh mereka yang pernah bermati-matian berjuang dengan Anwar membuktikan pemimpin itu mempunyai masalah moral dan tidak layak memerintah negara.

"Kita perlu tahu daripada mereka apa sebab mereka membuat keputusan meninggalkan Anwar. Selepas mendengar penjelasan Ahli Majlis Syura, saya faham kenapa," katanya.

Malah, kata Azmin, orang ramai tidak harus melepaskan peluang mendengar ceramah TIBAI pada masa akan datang. - utusan

0 comments:

Catat Ulasan