Pelajar IPTA Dibenarkan Berpolitik....


Pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA), institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) serta institusi pelajaran selain IPTA dan IPTS dibenar menjadi ahli mana-mana parti politik sebaik sahaja tiga pindaan rang undang-undang berkaitan dengan perkara tersebut dikuatkuasakan.

Selain parti politik, setiap pelajar juga diberi kebenaran menyertai persatuan, pertubuhan, badan atau kumpulan orang sama ada di dalam atau di luar negara.

Tiga rang undang-undang berkenaan ialah Rang Undang-Undang Universiti dan Kolej Universiti (Pindaan) 2012; Rang Undang-Undang Institusi Pengajian Tinggi Swasta (Pindaan) 2012 dan Rang Undang-Undang Institusi-Institusi Pelajaran (Tatatertib)(Pindaan) 2012.

Ketiga-tiga rang undang-undang itu telah dibaca buat kali pertama oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di Dewan Rakyat, hari ini.

Bagi pelajar universiti awam kebenaran itu diberikan di bawah pindaan Seksyen 15 rang undang-undang universiti dan kolej universiti manakala pelajar IPTS pula di bawah pindaan Seksyen 47 rang undang-undang institusi pengajian tinggi swasta.

Sementara untuk pelajar selain IPTA dan IPTS, kebenaran diberikan di bawah pindaan Seksyen 10 rang undang-undang institusi pelajaran.

Pindaan kesemua seksyen tersebut menyatakan bahawa seseorang pelajar sama ada IPTA, IPTS mahupun institusi pelajaran boleh menjadi ahli mana-mana persatuan, pertubuhan, badan atau kumpulan orang di dalam atau di luar negara termasuk mana-mana parti politik.

Bagaimanapun mereka tetap tertakluk kepada beberapa sekatan yang terkandung di dalam ketiga-tiga rang undang-undang tersebut iaitu menjadi ahli persatuan, pertubuhan, badan atau kumpulan orang yang melanggar undang-undang negara.

Seterusnya pelajar juga dilarang menjadi ahli mana-mana persatuan, pertubuhan, badan atau kumpulan orang yang bukannya sebuah parti politik sekiranya pihak IPTA, IPTS atau institusi pelajaran mendapati ia tidak sesuai demi kepentingan pelajar atau institusi terlibat.

Ketiga-tiga rang undang-undang itu turut memperuntukkan pelajar yang memegang sebarang jawatan dalam parti politik dilarang bertanding dalam pilihan raya kampus, juga dilarang memegang apa-apa jawatan di dalam persatuan, pertubuhan, badan dan kumpulan orang di dalam kampus.

Berdasarkan tiga rang undang- undang itu juga pelajar tidak boleh terbabit dalam aktiviti parti politik di kampus.

Sementara itu, Mohamed Khaled ketika ditemui di lobi Parlimen menjelaskan, pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) merupakan terjemahan kepada hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam usahanya melakukan transformasi politik yang turut melibatkan mahasiswa.

Meskipun mereka dibenarkan menyertai parti politik, beliau berkata, mahasiswa tidak pula dibenarkan terlibat secara langsung dengan mana-mana parti pertubuhan atau yang dicegah oleh undang-undang baik di dalam dan luar negara.

Dalam pada, itu kata beliau, mahasiswa yang mempunyai jawatan dalam parti politik masih berpeluang menyertai mana-mana persatuan di universiti tetapi hanya sebagai ahli biasa dan bukannya memegang jawatan.

''Mereka yang terlibat dalam parti politik luar juga dilarang untuk mengembangkan fahaman parti politik yang disertainya di dalam kampus," ujarnya.

Ditanya tindakan yang akan diambil jika mahasiswa membawa fahaman parti politik ke kampus, Mohamed Khaled berkata, ia bukan satu kesalahan jenayah sebaliknya akan dikenakan tindakan disiplin di bawah universiti masing-masing.

Jelas beliau, undang-undang itu dijangka dilaksanakan tahun ini sekiranya segala proses perbahasan, pewartaan dan pengesahan Yang di-Pertuan Agong berjalan lancar. - utusan

0 comments:

Catat Ulasan