Jangan Jadi Bodoh, Gaji Minimum Bukan Untuk Dipolitikkan!!


Penetapan kadar gaji minimum pekerja swasta perlu diterima dan bukan dipolitikkan kerana ia diasaskan oleh mereka yang pakar dalam bidang ekonomi, bukannya ahli politik, kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr S. Subramaniam.

"Kadar gaji minimum ini bukan diwujudkan oleh pihak politik tetapi diasaskan menerusi input Jawatankuasa Teknikal Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) iaitu penyelaras-penyelaras ekonomi serta Bank Dunia yang telah membuat kajian mendalam sebelum kadar itu diterima oleh majlis-majlis yang diwakili para majikan dan pekerja," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Sambutan Hari Pekerja Sektor Awam Peringkat Kebangsaan 2012 di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai penetapan kadar gaji minimum swasta iaitu RM900 bagi Semenanjung dan RM800 di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sempena sambutan Hari Pekerja, di Putrajaya malam tadi.

Menurutnya sebelum kadar itu ditetapkan, pihak majikan dan pekerja mempunyai pandangan yang berbeza namun setelah mengambil kira semua perkara ke dalam perbincangan bersama maka akhirnya kadar itu dipersetujui.

"Memang majikan mahu kadar yang lebih rendah manakala pekerja mahu kadar yang lebih tinggi, ada pihak yang cakap kadar perlu lebih RM1,200 atau RM1,300 tetapi kalau mengikut kajian yang dibuat, kalau lebih RM1,000 maka implikasi kepada ekonomi kita teruk dan kesan negatif lain seperti meningkatkan pengangguran.

"Tetapi setelah semua pihak berbincang tentang perkara ini maka satu persetujuan telah dicapai iaitu dengan kadar tersebut yang dianggap munasabah dan tidak memberikan implikasi negatif kepada ekonomi," katanya.

Subramaniam berkata dua perkara utama yang diambil kira oleh Jawatankuasa Teknikal MPGN dalam kajian berhubung kadar gaji minimum ialah dari segi indeks garis kemiskinan dan gaji penengah.

Menurutnya kajian juga dibuat bersandarkan kepada tiga faktor lain iaitu Indeks Harga Pengguna (CPI) yang merujuk kepada kos kehidupan semasa, aspek produktiviti dan kadar pengangguran.

"Sebelum kadar RM800 ditetapkan di Sabah dan Sarawak, wakil-wakil majikan di kedua-dua negeri itu meminta gaji minimum sebanyak RM700 tetapi ia di bawah paras garis kemiskinan iaitu RM800 jadi kita tetapkan kadar di kedua-dua negeri itu RM800, kalau lebih RM800 industri kecil dan sederhana pula tidak mampu dan akan menyebabkan mereka kerugian," katanya.

Beliau bagaimanapun berkata kadar gaji minimum di Sabah dan Sarawak itu akan diselaraskan dengan kadar gaji di Semenanjung selepas ekonomi di sana semakin meningkat pada masa akan datang.

Mengulas lanjut, Subramaniam berkata dia tidak menolak kemungkinan kadar gaji minumum swasta ini akan dipolitikkan oleh pihak-pihak tertentu yang mengambil kesempatan menangguk di air keruh terutamanya pada musim menjelang pilihan raya umum.

"Perkara ini akan dipolitikkan oleh pihak-pihak tertentu, kalau ada orang tidak bertanggungjawab cakap RM1,500 sepatutnya kadar miminum, saya cabar mereka buat di kawasan masing-masing, saya yakin mesti tutup kilang kerana mereka keluarkan kenyataan ini hanya untuk kepentingan politik," katanya. - utusan

0 comments:

Catat Ulasan