Hanya Satu Negeri Terlibat Rombakan Kepimpinan Pemuda - @KhairyKj


Pergerakan Pemuda UMNO memutuskan hanya satu negeri yang terlibat dalam rombakan kepimpinan peringkat negeri bagi memantapkan jentera sayap itu menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata, rombakan kepimpinan yang akan dilakukan dalam masa terdekat itu merupakan perkara biasa dan pernah dilakukan di beberapa negeri sebelum ini.

"Saya sentiasa memantau kepimpinan setiap negeri dan saya melihat kita perlu melakukan perubahan kepada negeri tersebut bagi memantapkan jentera dalam menghadapi pilihan raya.

"Kita memerlukan 'Jeneral' (ketua) untuk menghadapi 'peperangan' maka sudah tiba masanya saya membuat rombakan untuk mencapai kemenangan," katanya kepada pemberita selepas hadir di program Barisan Nasional (BN) Pilihan Orang Muda peringkat negeri di Dewan Jubli Perak di sini hari ini.

Hadir melancarkan program tersebut di hadapan kira-kira 5,000 orang yang terdiri daripada ahli Pemuda dan Puteri UMNO ialah Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob.

Turut hadir, Ketua Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.

Menurut Ahli Parlimen Rembau itu, beliau menegaskan rombakan kepimpinan kali ini hanya membabitkan satu negeri dan negeri mana yang terlibat akan diumumkan kelak.

"Tunggu... tunggu saya bagi tahu nanti," jelasnya.

Sementara itu, Khairy dalam ucapannya mahu sokongan padu yang diberikan golongan muda kepada BN terus berterusan agar kemenangan memihak kepada parti itu dalam PRU-13.

"Berdasarkan kajian yang saya lakukan dalam pilihan raya kecil yang diadakan sejak 2009 menunjukkan sokongan golongan muda kepada BN semakin meningkat.

"Lapan pilihan raya kecil yang kita lalui menunjukkan saluran muda majoriti menyokong BN terutama di Kerdau, Merlimau dan Tenang," ujarnya. -um

0 comments:

Catat Ulasan