Jentera BN Digesa Tangkis Fitnah, Persepsi - @KhairyKj
KUALA SELANGOR: Jentera pilihan raya Barisan Nasional (BN) digesa supaya lebih agresif menolak fitnah dan persepsi negatif yang cuba dilakukan pembangkang di saat-saat akhir menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).
Ketua Pemuda BN, Khairy Jamaluddin berkata, jentera parti itu perlu lebih berhati-hati terutamanya ketika berhadapan dengan pelbagai isu yang dibawa pembangkang bagi merosakkan imej kerajaan.
"Jangan mudah terpedaya dengan fitnah pembangkang yang cuba memburuk-burukkan parti dan pemimpin-pemimpin kita.
"Ingatlah pilihan raya kali ini adalah pertembungan antara kebenaran dan fitnah, kita perlu berhati-hati dengan strategi pembangkang," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran jentera pilihan raya Pemuda BN Parlimen Tanjong Karang di sini, Isnin malam.
Katanya jentera parti itu perlu memgambil iktibar daripada kekalahan BN pada PRU 2008 apabila pembangkang berjaya menafikan majoriti dua pertiga di Parlimen.
Tegas beliau yang juga Ketua Pemuda Umno, pilihan raya umum yang lalu menyaksikan pembangkang menabur pelbagai fitnah hingga berjaya meyakinkan rakyat demi meraih sokongan politik.
"Kita mesti ingat apa yang berlaku pada 2008. Pilihan raya tahun itu menyaksikan persepsi dan fitnah ditaburkan secara bermaharajalela oleh pembangkang.
"Kali ini kita mesti bekerja keras untuk memastikan perkara seumpama itu tidak berlaku lagi," katanya.
Selain itu Ahli Parlimen Rembau itu berkata, tempoh empat tahun yang diberikan kepada pembangkang pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) mentadbir Selangor sudah cukup untuk rakyat membuat penilaian tentang kemampuan mereka.
Jelas beliau kerajaan negeri Selangor pimpinan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim terbukti gagal mentadbir negeri berkenaan apabila banyak manifesto pilihan raya umum yang lalu tidak ditunaikan sepenuhnya.
"Sebelum 2008 mungkin kemampuan mereka tidak teruji, tapi dalam tempoh empat tahun ini akhirnya kita telahpun membuat penilaian dan ujian terhadap mereka. Menteri Besar tak mampu tunaikan janji. Janji nak beri air percuma kepada rakyat Selangor tidak dipenuhi.
"Sekarang buat pula janji baru nak berikan pendidikan percuma kalau mereka menang di peringkat Persekutuan. Ini semua bohong...kalau mampu, kerajaan negeri sepatutnya mulakan dengan Unisel (Universiti Selangor).
"Tapi mereka tak buat, malah pendidikan peringkat pra-sekolah pun mereka tak boleh bagi percuma," katanya.
Tambahnya lagi kerajaan Selangor juga berhadapan dengan pelbagai masalah termasuk yang terbaru membabitkan penstrukturan semula hutang Talam Corporation.
Katanya Menteri Besar gagal menjawab isu yang didedahkan MCA malah masih berdolak-dalik mengenai Kertas Putih berhubung hutang tersebut.
Baru-baru ini Ketua Biro Profesional Muda MCA, Datuk Chua Tee Yong membuat kenyataan mendakwa penstrukturan hutang Talam Corporation dan kerajaan Selangor membabitkan transaksi berjumlah RM1 bilion, sekalipun jumlah hutang hanya RM392 juta. -mstar
0 comments:
Catat Ulasan