"Kami Akan Buktikan FB Bukan Dikendalikan Oleh Pemuda UMNO!" - @KhairyKJ


Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin menegaskan, pihaknya akan membuktikan laman sosial Facebook kontroversi, yang didakwa membawa mesej berbaur hasutan, bukan dikendalikan oleh pihaknya.

Menjawab siri pertanyaan dan respons daripada pengikut Twitternya, Khairy berkata, pihaknya juga akan menyiasat sama ada wujud unsur sabotaj.

Buat hari kedua berturut-turut semalam, Khairy yang juga Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN) menegaskan, akaun yang menjadi tumpuan ramai tidak dikendali atau diuruskan oleh sayap muda Umno itu.



Sebelum ini, Pemuda Umno Pusat menafikan bahawa akaun 'fan page' yang didaftarkan atas nama Pemuda Umno Malaysia itu dikendalikan pergerakan tersebut.

Seorang pengikut, Geminianeyes berkata: "It's hard to buy 'unsanctioned' page excuse when FB link on your official site points to profile that likes said page."

Khairy menjawab: "Laman FB ini tidak disekat dan tidak ditadbir oleh Pemuda Umno."

Kemudian Geminianeyes mempersoalkan: "Jika ia bukan sesuatu yang dibenarkan, mengapa ia dipaut 'Liked' menerusi profil FB dari laman anda? Melainkan http://www.pemudaumno.org.my/ bukan milik anda," katanya.

Seorang pengikut yang lain, Dinesh Nair mengaitkan dengan isu Seksyen Akta Keterangan, dengan antara lain mengatakan bahawa, "di bawah (Seksyen) 114A, beban adalah pada Pemuda.

Langkah baik anda melahirkan bantahan ke atasnya."

Khairy, Ahli Parlimen Rembau, sebelum ini telah meminta agar kerajaan mengkaji semula Seksyen 114A, yang diluluskan oleh Parlimen April lalu.

Khairy berkata, susulan laporan polis yang sudah dibuat petang semalam, tiada masalah bagi Pemuda Umno dan BN untuk membuktikan perkara berkenaan bukan dilakukan oleh pihaknya.

Sekali lagi Dinesh Nair menimbulkan persoalan kemungkinan ia perbuatan sabotaj dalaman.

Khairy membalas respons dengan mengatakan bahawa perkara itu akan disiasat tetapi beliau percaya tiada seorang pun di Pemuda Umno Pusat yang mengendalikan akaun Facebook tersebut.

Semalam Sinar Harian melaporkan Pemuda Umno Pusat mahu pihak polis menyiasat kewujudan satu akaun laman sosial Facebook kontroversi, yang membawa mesej undi kepada Pakatan

Rakyat (PR) bermakna sokongan kepada usaha menjadikan Kristian sebagai agama persekutuan, "seolah-olah" dikendalikan oleh pergerakan itu.

Laporan dibuat oleh Setiausaha Kerja Pemuda BN, Ibdillah Ishak di Balai Polis Tun H S Lee.

Laman itu memaparkan wajah Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak di bahagian utama dan disusuli dengan siri laporan berkaitan dengan aktiviti pemimpin-pemimpin Umno khususnya dari Selangor.

Poster yang kontroversi itu membawa mesej bahawa “Jika anda setuju untuk jadikan KRISTIAN sebagai agama rasmi persekutuan Malaysia, teruskan sokongan anda kepada Pakatan Rakyat. ‘God bless you my son’ (Tuhan berkatimu, anakKu).”

Akaun itu masih aktif tetapi poster berkenaan telah dialihkan Ahad lalu. -SH

0 comments:

Catat Ulasan