15 Hujah Untuk Dinilai - Malaysia Negara Islam atau Sekular??


Adakah Malaysia sebuah negara Sekular ???

1.) Sebuah negara sekular adalah suatu konsep secularisme, di mana sebuah negara bertujuan menjadi secara rasmi neutral dengan hal agama, tidak menyokong sama ada agama atau menentang agama. Sebuah negara sekular juga mendakwa melayan semua warganya sama-rata tanpa mengira agama, dan tidak ada keistimewaan terhadap seorang warga dari suatu agama atau tanpa agama khusus ke atas agama lain atau tanpa agama.

2.) Negara-negara sekular tidak mempunyai sebuah agama rasmi atau yang sama, walaupun ketidakhadiran sebuah agama rasmi tidak meyakinkan bahawa sebuah negara adalah sekular.

3.) Bagaimanapun, Perlembagaan Persekutuan sebenarnya memperuntukkan banyak fasal mengenai agama Islam. Umpamanya Perkara 3 menegaskan tanpa keraguan bahawa Islam adalah agama Persekutuan.

4.) Negara sekular seperti Perancis, Turki dan India menyatakan dengan jelas dalam perlembagaan mereka bahawa negara itu adalah negara sekular tanpa merujuk kepada sebarang agama. Ia tidak berlaku di dalam Perlembagaan dengan wujudnya Perkara 3 tadi.

5.) Jika Perlembagaan adalah sekular tentu Perkara 3 itu ditiadakan, malah ada banyak fasal lain yang memberi keistimewaan dan kedudukan tinggi agama Islam. Ia mustahil berlaku dalam sebuah negara sekular.

6.) Sebuah negara sekular tidak boleh mengeluarkan dana awam bagi perkembangan sesuatu agama kerana ia bertentangan dengan prinsip sekularisme. Namun, di Malaysia, Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri memperuntukkan ratusan juta ringgit bagi pengembangan dan kemajuan agama Islam, sama ada untuk pembinaan masjid, peruntukan jabatan berkaitan agama Islam dan banyak lagi.

7.) Tindakan kerajaan selaras dengan peruntukan Perlembagaan yang membenarkan dana awam digunakan bagi pembangunan agama Islam seperti diperuntukkan Perlembagaan dan sekali gus menjadi bukti Islam mendapat tempat istimewa dalam Perlembagaan.

8.) Perkara 11(4) Perlembagaan pula memberi kuasa kepada Dewan Undangan Negeri dan Parlimen bagi Wilayah-wilayah Persekutuan membuat undang-undang mengawal dan menyekat penyebaran agama bukan Islam di kalangan umat Islam.

9.) Adalah mustahil dalam sebuah negara bersifat sekular keistimewaan itu diberikan kepada sesebuah agama. Hal ini dengan sendiri menafikan hujah Perlembagaan adalah perlembagaan sekular.

10.) Malah, dengan pindaan Perlembagaan pada 1988 menyatakan bahawa Mahkamah Sivil tidak mempunyai bidang kuasa mengganggu keputusan Mahkamah Syariah, sekali gus menaikkan kedudukan agama Islam dan Mahkamah Syariah walaupun ada kalangan masyarakat tidak berpuas hati dengan kedudukan ini. Sekali lagi keistimewaan diberikan kepada agama Islam.

11.) Malah, dalam banyak keadaan lain, agama Islam dirujuk dan diiktiraf. Ia termasuk dalam sumpah jawatan Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong juga menggunakan format dengan menyebut nama Allah seperti lafaz wallahi wabillahi watallahi.

12.) Ia adalah sumpah syarie mengikut lunas undang-undang syariah. Dengan menggunakan nama Allah, kedua-dua baginda berazam akan mempertahankan agama Islam di negara ini.

13.) Contoh itu adalah sebahagian contoh membidas hujahan pihak yang mengatakan Malaysia sebuah negara sekular secara total. Pelbagai perkara berlaku selepas Perlembagaan dipinda selepas kemerdekaan negara menjurus kepada peninggalan sifat sekular negara.

14.) Adalah jelas Perlembagaan dan negara Malaysia bukan negara sekular dalam erti kata sekular itu sendiri. Negara sekular memisahkan agama daripada perundangan dan pentadbiran.

15.) Negara sekular meminggirkan agama dalam mengejar kemajuan. Negara sekular tidak memberi keistimewaan langsung kepada sebarang agama dalam menjalankan aktiviti agama mereka. Perkara itu tidak berlaku di Malaysia.

sumber: GELOMBANG KICK

0 comments:

Catat Ulasan