Dasar BN Jelas Berwawasan, Bersifat Jangka Panjang


KEPALA BATAS 28 Okt. - Dasar Barisan Nasional (BN), sebagai sebuah parti yang telah memerintah negara lebih 50 tahun, membawa wawasan yang jelas dan bersifat jangka panjang, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

Beliau berkata, BN sangat prihatin khususnya dalam menyediakan pelbagai kemudahan untuk keselesaan rakyat tanpa mengira ideologi politik atau kaum.

"Ini membuktikan bahawa kepimpinan BN bukan bersikap populis sebaliknya merupakan perancang untuk satu tempoh jangka masa panjang," katanya kepada pemberita selepas merasmikan karnival Deepavali anjuran Sri Murugan Centre di Dewan HYO, Pokok Machang, Tasek Gelugor, di sini semalam.

Nor Mohamed berkata, dasar BN amat berbeza dengan dasar pembangkang yang hanya memberi tumpuan kepada keperluan pengundi sahaja dan tidak mempunyai perancangan untuk jangka masa panjang.

Katanya, menyedari setiap rakyat perlu mendapat perhatian dan menikmati keselesaan yang sama rata, kerajaan BN telah merancang dan melaksanakan banyak program dan strategi untuk memastikan setiap rakyat mendapat keistimewaan sama rata.

Sementara itu, dalam ucapannya, Nor Mohamed turut membandingkan makna 'konsep kebaikan mengatasi kejahatan' dalam perayaan Deepavali atau pesta cahaya, dengan cabaran yang dihadapi kerajaan untuk melahirkan insan cemerlang yang berupaya mengharungi pelbagai cabaran bagi mencapai kejayaan. -BERNAMA

0 comments:

Catat Ulasan