Dewan Rakyat Tolak Usul Tolak Gaji Menteri
KUALA LUMPUR 22 Okt. - Persidangan Dewan Rakyat hari ini menolak usul daripada Tony Pua (DAP-Petaling Jaya Utara) untuk memotong gaji Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebanyak RM10.
Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia ketika menolak usul berkenaan berkata, usul yang dibuat di bawah Peraturan Mesyuarat 66(9) tidak dapat dipertimbangkan untuk dikemukakan di dalam Dewan kerana tidak menyatakan dengan jelas perkara yang hendak dikurangkan.
"Selain itu usul perlu memberikan alasan bagi pengurangan tersebut dan memberikan suatu justifikasi terperinci bagi alasan pengurangan tersebut," katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini.
Beliau yang meneliti usul itu turut menegaskan keputusan tersebut dibuat bagi mengelakkan sebarang persoalan perundangan ditimbulkan.
"Gaji adalah hak individu dan ia bermaksud menteri itu mempunyai hak ke atas gaji mereka. Dewan ini tidak mempunyai hak untuk mengambilnya," katanya.
Pua mengemukakan usul tersebut pada Rabu lepas dengan mendakwa Ismail Sabri menyalahguna kuasa melalui Suruhanjaya Syarikat Malaysia bagi menyiasat Suara Inisiatif Sdn Bhd. -BERNAMA
Salam perjuangan..Mohon dipautkan blog MMI mahamissa.blogspot.com terimakasih.