Hari Kemerdekaan Tahun Depan Perlu Lebih Hebat


KUALA LUMPUR - Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim hari ini melahirkan harapan agar sambutan Hari Kemerdekaan ke-56 tahun depan akan lebih hebat dan menonjolkan sesuatu yang luar biasa.

Rais, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Ulang Tahun Hari Kemerdekaan Ke-55 Tahun 2012 berkata harapan itu tidak mustahil untuk dicapai jika semua pihak memberikan sumbangan dan komitmen padu.

"Oleh itu, keringat, sumbangan dan penyesuaian sebagai satu kontinjen perlu untuk capai kejayaan," katanya pada majlis penghargaan dan penyampaian sijil sempena sambutan Hari Kemerdekaan Ke-55 Tahun 2012 di sini Isnin lalu.

Turut hadir isteri beliau, Datin Seri Maznah Rais serta Ketua Setiausaha kementerian Datuk Seri Kamaruddin Siaraf.

Selain itu Rais berkata kejayaan sambutan Hari Kemerdekaan ke-55 pada Ogos lepas adalah berkat sokongan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pada majlis itu Rais dan Maznah turut menyampaikan hadiah kepada lapan pemenang Pertandingan Keceriaan Merdeka 2012 anjuran Jabatan Penerangan yang merangkumi kategori bangunan kerajaan, bangunan swasta, kampung, sekolah, taman perumahan, individu (rumah kediaman), pintu gerbang dan Anjung Komuniti 1Malaysia.

Antara pemenangnya ialah Kampung Tanjung Parang Kota Samarahan Sarawak bagi kategori kampung dan Rancangan Perumahan Awam Arau, Perlis bagi kategori taman perumahan, sementara JKKR Felda Kledang, Kota Tinggi Johor untuk kategori pintu gerbang dan kesemua pemenang menerima RM10,000 bagi setiap kategori.

Sementara Sekolah Kebangsaan Abang Ali, Kampung Baharu, Sibu, Sarawak memenangi kategori sekolah dan memenangi hadiah wang tunai RM5,000. [SUMBER]

0 comments:

Catat Ulasan