Kerajaan Negeri Selangor Disaman Lagi Kerana Skim Air Percuma


SHAH ALAM: Kerajaan Selangor berdepan tindakan saman keempat, kali ini daripada 1,515 pengguna air di negeri ini yang menuntut ganti rugi RM863,550 atas dakwaan tidak menerima subsidi air percuma seperti dijanjikan dalam manifesto pakatan pembangkang pada pilihan raya umum lepas. 

Rushdan Mohamed, 41, mewakili 1,514 pengguna air lain dari kawasan perumahan Flat Putra Perdana, Sepang, perumahan Flat SPNB, Taman Medan Petaling Jaya dan perumahan Flat Seksyen 6 di sini, menamakan kerajaan Selangor, Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim serta Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) sebagai defendan. 

Saman itu difailkan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini (semalam) jam 10 pagi melalui Tetuan Kamarudin & Partners.

Peguam Kamarudin Ahmad, yang mewakili plaintif, memaklumkan pemberita bahawa saman itu akan diserah kepada semua defendan dalam tempoh seminggu. 

Dalam penyataan tuntutan, plaintif mendakwa semasa kempen pilihan raya pada Mac 2008, rakyat di negeri Selangor dijanjikan mendapat air percuma bagi 20 meter padu pertama setiap bulan kepada pengguna domestik. 

Plaintif mendakwa berdasarkan manifesto semasa kempen, setiap pengguna air domestik di Selangor yang mempunyai akaun dengan Syabas layak menerima subsidi RM11.40 sebulan tidak kira sama ada menggunakan meter individu atau meter pukal. 

Mereka mendakwa selepas memenangi pilihan raya, kerajaan negeri Selangor memulakan skim air percuma pada 1 Jun 2008. 
Bagaimanapun, plaintif mendakwa mereka tidak menerima subsidi air percuma itu dan mendapati tidak ada sebarang potongan 20 meter padu pertama ke atas bil air mereka yang dikeluarkan Syabas. 

Sehubungan itu, plaintif menuntut ganti rugi berjumlah RM863,550 daripada kerajaan negeri dan/atau Syabas, atau secara alternatif dibayar ganti rugi sejumlah potongan 20 meter padu air yang mereka bayar setakat ini dari Jun 2008 sehingga September 2012. 

Mereka juga menuntut pengisytiharan bahawa Skim Air Percuma yang dijanjikan kerajaan Selangor merangkumi semua pengguna air di negeri ini tanpa mengira sama ada pengguna meter pukal atau individu, perintah injunksi mandatori agar Syabas mengeluarkan bil air dengan rebat atau potongan yang dijanjikan kepada plaintif, faedah empat peratus dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. - BERNAMA

0 comments:

Catat Ulasan