Kereta Ketua Pemuda BN Pulau Pinang Disimbah Cat


Georgetown: Kereta milik Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang, Oh Tong Keong, yang diletakkan di parkir Restoran Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Penang Free (OFA) di Jalan Sultan Ahmad Shah di sini, disimbah cat merah, semalam. 

Cermin depan dan belakang kereta jenis Nissan Sylphy itu turut dipecahkan, dipercayai oleh dua individu tidak dikenali ketika hujan yang menyebabkan kerugian kira-kira RM10,000. Kejadian disedari kira-kira jam 3.10 petang ketika Tong Keong sedang berbincang mengenai aktiviti parti bersama dua rakannya apabila beliau didatangi pekerja restoran memberitahu keretanya disimbah cat. 
Tong Keong yang juga Ketua Pemuda GERAKAN Pulau Pinang bergegas keluar dan terkejut apabila mendapati cat merah memenuhi bahagian depan kereta, selain cermin depan dan belakang pecah. 

“Saya singgah di OFA kira-kira jam 2.15 petang untuk bertemu rakan bagi membincangkan mengenai perancangan aktiviti yang akan dijalankan parti tidak lama lagi. 

“Ketika sedang berbincang, seorang pekerja restoran memberitahu kereta saya disimbah cat oleh dua individu bermotosikal memakai baju hujan kerana ketika itu hujan lebat. Kedua-dua lelaki itu menghilangkan diri sejurus kejadian,” katanya. 

Tong Keong tidak pasti siapa yang melakukan angkara itu tetapi tidak menolak kemungkinan bermotifkan politik. 
“Saya tidak mahu cakap (tuduh) siapa kerana saya sendiri tidak pasti, tetapi mungkin kerana kenyataan saya yang mendesak Ketua Menteri, Lim Guan Eng, memberikan kenyataan balas berhubung penjualan tanah di Taman Manggis,” katanya. 

Berikutan kejadian itu, beliau membuat laporan di Ibu Pejabat Daerah Timur Laut. -BH

0 comments:

Catat Ulasan