Pasca #Belanjawan2013: 50% Pengundi Muda Sokong BN, 20% Sokong PR

50 PERATUS pengundi muda menyokong BN, 20 peratus pembangkang dan 30 peratus pengundi muda berkecuali, kata Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin.

Data tersebut diperolehi hasil kajian Pemuda UMNO selepas pembentangan Bajet 2013 Jumaat lalu.

Katanya sebelum Bajet 2013, kajian yang dilakukan secara konsisten dan berskala itu, mendapati 60 peratus pengundi muda adalah berkecuali dan 40 peratus kepada BN dan pembangkang.

"Kajian terbaru ini menunjukkan lonjakan luar biasa...kita nampak kesan belanjawan ini amat baik sekali," katanya sambil memperjelaskan kajian terbaru itu membabitkan 1,000 responden dari seluruh negara.

Katanya, pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO akan sentiasa turun padang selepas ini bagi memperjelaskan dasar-dasar kerajaan dan belanjawan itu kepada generasi muda.

Malah, katanya, peningkatan jumlah kehadiran golongan muda di majlis pelancaran program 'BN Pilihan Orang Muda' peringkat negeri Pulau Pinang semalam adalah kesan secara langsung daripada belanjawan tersebut.

Sementara itu, ketika bercakap kepada pemberita selepas menghadiri pelancaran program tersebut, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pelbagai insentif untuk golongan belia yang diumumkan dalam Belanjawan 2013 jelas membuktikan kerajaan BN sentiasa prihatin dan mendengar suara dan isi hati golongan muda.

Beliau berkata sebanyak RM51.7 bilion yang diperuntukan dalam belanjawan untuk golongan muda menunjukkan dakwaan sesetengah pihak bahawa kerajaan tidak ambil peduli suara orang muda terbukti tidak benar.

"Belanjawan yang dbentangkan memperlihatkan keprihatinan dan suara generasi muda diambil kira oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak," katanya.

Ahmad Zahid, yang juga menteri pertahanan, berkata golongan muda mula menunjukkan dokongan terhadap BN setelah mereka melihat kerajaan berjaya menepati semua yang dijanjikan.

Ini dapat diterjemahkan dengan kehadiran mereka yang menggalakkan pada setiap perhimpunan yang dianjurkan oleh BN, katanya. -agendadaily

0 comments:

Catat Ulasan