Buang Sikap Cepat Lupa - Tun M


SIK - Ahli Umno perlu kikis sikap tidak puas hati terhadap calon pilihan parti jika mahu melihat parti itu dan Barisan Nasional (BN) terus berkuasa dan membentuk sebuah kerajaan yang kuat selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, setiap anggota  perlu memberi sokongan kepada calon yang bertanding atas nama Umno dan tiket BN supaya kemenangan besar untuk membentuk kerajaan yang kuat boleh dicapai.

"Jangan terlalu cepat menolak mana-mana calon yang diputuskan bertanding," katanya pada Majlis Bersama Rakyat Daerah Sik, yang disertai lebih 2,000 orang, di sini semalam (Ahad).

Dr Mahathir berkata, tindakan tidak menyokong calon yang dipilih parti berpunca daripada sikap cepat lupa di kalangan orang Melayu, yang akhirnya akan mengundang masalah lagi jika Umno dan BN tidak mendapat majoriti yang secukupnya di Parlimen.

Katanya, anggota dan penyokong Umno serta BN perlu sedar bahawa tindakan tidak menerima calon yang dipilih oleh pimpinan parti dalam PRU13 sebenarnya membawa kesan buruk kepada parti dan anggota parti itu sendiri.

Beliau berkata, masalah itu boleh dielakkan jika semua ahli dan penyokong Umno dan BN mengenepikan hal-hal yang timbul dengan memberikan sokongan padu kepada semua calon Umno dan BN dalam PRU13 nanti.

Bercakap pada sidang media selepas itu, Dr Mahathir mahu semua ahli dan penyokong Umno dan BN memberikan keutamaan kepada perpaduan dalam parti.

Katanya, mereka perlu berazam membantu calon yang bertanding supaya menang bagi memudahkan pucuk pimpinan membentuk sebuah kerajaan yang kuat untuk membela rakyat serta melaksanakan pembangunan negara secara lebih drastik. -BERNAMA

0 comments:

Catat Ulasan