Calon BN Diumum Waktu Sesuai
KUALA TERENGGANU - Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengumumkan calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-13, apabila tiba waktu yang sesuai dengan mengambil kira isu strategik.
Timbalan Perdana Menteri berkata isu strategik itu turut meliputi sama ada calon berkenaan perlu diumumkan lebih awal yang mungkin memberi kelebihan kepada calon BN itu nanti.
"Ia akan sampai waktu bila Presiden (parti dan Pengerusi BN) buat keputusan, mereka yang hendak jadi calon itu akan diberitahu," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan khas bersama pegawai, pengurusan dan profesional negeri Terengganu, di sini semalam (Sabtu).
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Umno Pahang baru-baru ini yang meminta pucuk pimpinan mengumumkan nama calon BN lebih awal supaya gerak kerja kempen dapat dilakukan dengan lebih teratur.
Muhyiddin berkata: "Kita tidak boleh buat keputusan mengatakan sekaranglah masanya atau bila masa yang sesuai, kita (perlu) ikut situasi, ikut keadaan dan ikut calon berkenaan, jadi kita kena ada pendirian yang akan strategik, bila Perdana Menteri hendak buat keputusan itu dia akan ambil kira isu- isu strategik.
"Adakah (dengan) mengumumkan lebih awal itu akan memberi kelebihan kepada kita atau (ada) hal-hal yang lain?," katanya.
Muhyiddin berkata apa yang mustahak ialah apabila calon diumumkan nanti, semua pihak perlu akur dan menerima keputusan yang dibuat pucuk pimpinan.
Semalam, Perdana Menteri berkata BN telah mengenal pasti senarai nama calon BN tetapi belum dimuktamadkan kerana ia merupakan proses berterusan sehingga menjelang pilihan raya.
Terdahulu, semasa berucap pada majlis perjumpaan khas itu, Muhyiddin mahu penjawat awam tidak melakukan sesuatu perkara yang akan membawa musibah kepada kerajaan dan rakyat.
"Penjawat awam tidak boleh membuat sesuatu angkara, merosakkan dan yang tidak memberi manfaat kepada rakyat," katanya.
Beliau berkata kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri sentiasa telus dan bersedia menerima kritikan yang membina dalam membawa perubahan dan transformasi kepada negara. - Bernama
0 comments:
Catat Ulasan