Demi DAP: PAS, PKR Perlu Setia Dan Hormati Tuntutan


SHAH ALAM - Pas dan PKR menyifatkan tuntutan rakan komponen mereka DAP untuk menambah kerusi Dun dan Parlimen dalam Pilihan raya Umum ke-13 (PRU13) sebagai tuntutan biasa.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, semua parti dalam Pakatan Rakyat (PR) membuat tuntutan sama dalam persidangan tahunan mereka.

“Perkara ini kami sedia maklum, PKR dan Pas juga mahu pertambahan kerusi mewakili parti masing-masing.

“PR sudah berada di penghujung penyelesaian dalam agihan kerusi, hanya tinggal tiga kerusi sahaja yang masih belum diputuskan. Tiga kerusi itu antara PKR dan DAP, perkara itu sedang dibincangkan dan akan selesai dalam masa terdekat ini,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Saifuddin berkata, cakap-cakap daripada orang luar PR bahawa DAP mahu rebut kuasa hanya untuk membangkitkan provokasi sahaja.

“Mereka yang cakap itu tidak tahu bagaimana proses PR buat keputusan. Kita boleh atasi perkara itu, tidak ada masalah,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub berkata, Pas menghormati tuntutan DAP yang dibuat pada Kongres Kebangsaan DAP itu.

“Hak mereka (DAP) untuk buat tuntutan itu, itu perhimpunan mereka. Suasana perhimpunan mempengaruhi semangat perwakilan.

“Kita hormati dan sebarang cadangan akan dibincangkan dalam majlis tertinggi PR dari hati ke hati,” katanya.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam ucapan dasarnya bertajuk “Perubahan Di tangan Mu” pada kongres ke-16  DAP di Pusat Sukan Antarabangsa Pulau Pinang berkata, Pas dan  PKR diharap dapat mengiktiraf semangat dan kesetiaan yang ditunjukkan DAP dengan membenarkan parti itu bertanding lebih banyak kerusi. -SH

0 comments:

Catat Ulasan