Demi Jambu Muda, PKR Tiru UMNO


ALOR SETAR - Umno tidak gusar dengan cadangan PKR untuk meletakkan sekurang-kurangnya 35 peratus calon muda dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Pengerusi Umno Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, cadangan PKR itu dilihat hanyalah satu pendekatan yang digunakan seoalah-olah meniru strategi Umno dalam PRU nanti.

Katanya, Bagaimanapun, Umno tidak ambil peduli dengan peniruan strategi yang digunakan pembangkang kerana yakin kemenangan akan terus berpihak kepada Umno.

“Kita tidak kisah kalau mereka nak tiru strategi kita. Umno juga ada strategi sendiri dan yakin kaedah yang kita gunakan mampu menarik sokongan pengundi-pengundi baru dalam PRU13 nanti.

“Kita tidak nafikan saingan kali ini agak kuat sebab kedua-dua parti lawan meletakan calon baru dan muda.

“Tapi dengan kesungguhan yang dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan sebagainya, pengundi baru terutamanya mampu memberi sokongan kepada Umno,” katanya kepada Sinar Harian selepas
menyampaikan sumbangan wang tunai kepada keluarga dua beradik yang mati lemas akibat terjatuh ke dalam muara Sungai Kuala Kedah, semalam.

Ahmad Bashah berkata, kesungguhan Najib untuk menjaga kepentingan anak muda dilihat dapat membantu perjuangan Umno di masa depan.

“Sekarang kita sudah nampak Najib banyak memberi sumbangan dan jaga kepentingan anak-anak muda. Dulu tidak nampak, sekarang bantuan cukup banyak.

“Ini kerana anak-anak muda inilah yang bakal membangunkan negara di masa hadapan. Kalau tiada kesinambungan calon baru dan muda, macam mana negara nak terus membangun,” katanya.

Terdahulu, sebuah laman sesawang melaporkan pemimpin muda akan disenaraikan sekurang-kurangnya 35 peratus daripada senarai calon PKR bagi PRU akan datang sebagai langkah agresif parti tersebut untuk mengalahkan Barisan Nasional (BN) dalam perlawanan penting merebut undi golongan muda, kata Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail. -SH

0 comments:

Catat Ulasan