Calon BN kena bersyukur jika tak terpilih – Dr Mahathir
KUALA LUMPUR, 10 April – Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengingatkan anggota Barisan Nasional (BN) yang tidak terpilih sebagai calon pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) harus menerima keputusan itu dengan fikiran terbuka dan bersyukur dengan perkara itu.
Bekas perdana menteri berkata penyandang kerusi Parlimen atau kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang tidak terpilih perlu menerima hakikat bahawa akan tiba masanya mereka perlu berundur dan bukan sepanjang masa orang menyukai kita.
“Kalau betul-betul sayang parti, mereka akan terima dengan fikiran terbuka,redha dan bersyukur, malah harus sokong parti dan calon ganti itu. Kena ingat dulu mereka menang sebab orang-orang (penyokong) itu juga, jadi kena kembali menyokong calon baharu,” katanya dalam program ‘Soal Jawab’ yang disiarkan TV3 malam ini.
Program itu dihoskan Pengarah Eksekutif Operasi Berita dan Editorial Media Prima, Datuk Ahmad A.Taib.
Dr Mahathir berkata penggantian calon perlu dilakukan pada setiap pilihan raya bagi memberi peluang kepada muka baharu untuk berkhidmat kepada parti bagi memastikan rasuah dan kronisma tidak berleluasa jika seseorang itu terlalu lama memegang jawatan.
Mengambil contoh parti UMNO, beliau berkata tindakan memilih orang lama parti untuk bertanding akan menyebabkan ramai orang tidak akan menyertai parti itu kerana amalan kronisma begitu menebal dikalangan orang lama.
“Ini menyebabkan UMNO makin lama makin kecil atau diisi oleh orang-orang yang tidak cerdik” tegasnya.
Beliau juga mengingatkan wakil-wakil rakyat BN yang tidak terpilih harus menyokong parti sebagai tanda membalas budi di atas peluang yang diberikan dan rezeki yang disalurkan oleh parti selama ini.
Katanya jika mereka tidak menerima keputusan itu, ia bermakna perjuangan mereka hanya terhad kepada diri sendiri dan bercanggah dengan prinsip perjuangan parti yang ditubuhkan untuk membela nasib rakyat.
Mengimbas kembali tindakannya mengundurkan diri semasa berada di puncak, Dr Mahathir berkata ia perlu dilakukan agar tidak dibenci rakyat kerana terlalu lama memegang jawatan Perdana Menteri walaupun beliau sebenarnya berat untuk melepaskannya.
Menyentuh mengenai manifesto PRU13, beliau berkata manifesto pembangkang memperlihatkan mereka tidak faham kebenaran dan kenyataan berbanding manifesto BN yang dihasilkan daripada pengalaman beliau dan Rafidah Aziz.
0 comments:
Catat Ulasan