Air : Kerajaan PKR Selangor Terus Dibidas


KUALA LUMPUR - Selangor mungkin sudah hampir kekurangan bekalan air mentah jika sumber baharu masih tidak diteroka, tatkala mahu membekalkan air bersih mencukupi kepada kediaman, pejabat, restoran dan kilang di negeri itu, kata seorang penggubal undang-undang persekutuan.

Ahli Parlimen kawasan Pandan, Datuk Seri Ong Tee Keat (gambar) berkata, kerajaan Selangor perlu memastikan bekalan air mentah sedia ada seiring dengan jumlah penduduk dan pertumbuhan industri, kerana sebahagian bekalan air mentah yang ada sekarang tidak boleh dirawat dan diguna penduduk.

"Kenapa kita perlu kelirukan rakyat dengan menggambarkan kita ada bekalan mencukupi?

"Kita memang tahu tidak semua bekalan air mentah yang ada boleh dirawat kerana mungkin ada kandungan logam dan ini mungkin menyebabkan anda berbelanja besar untuk mendapatkan rawatan (perubatan)," katanya dalam satu temu bual.

Tee Keat yang membidas kerajaan Selangor kerana tidak membentangkan 'angka meyakinkan' pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) sekali gus mengakhiri perbalahan mengenai air, berkata, Selangor menghadapi dua isu air iaitu kekurangan bekalan air mentah dan kapasiti loji rawatan air.

"Anggota DUN pakatan pembangkang kata kita ada bekalan air mentah yang mencukupi kerana sekarang musim hujan dan semua empangan penuh.

"Hanya dengan mengatakan takungan penuh air tidak bermakna anda ada bekalan air mentah mencukupi. Kami mahu kerajaan negeri mengeluarkan statistik yang tidak bias agar tidak mengelirukan rakyat," katanya. -BERNAMA

0 comments:

Catat Ulasan