PANAS! Diminta Pantau 'Ustaz & Ustazah Segera'


KUANTAN - Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob meminta Adun di setiap kawasan memantau kehadiran `ustaz dan ustazah segera’ untuk memastikan keadaan itu dapat dikawal.

Adnan berkata, kemunculan golongan terbabit yang tidak dibekalkan ilmu tinggi dalam agama, tetapi giat menyampaikan ceramah berdasarkan pengalaman selepas berhijrah harus dipantau.

Menurutnya, aktiviti golongan terbabit boleh disifatkan bertujuan mencari makan (meraih pendapatan) walaupun tidak mempunyai ilmu agama secara formal untuk membimbing masyarakat.

“Oleh itu, saya harap Adun memantau keadaan ini supaya tidak berlaku penyelewengan akidah dan sebagainya,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Shahaniza Shamsudin (BN Kuala Sentul).

Terdahulu, Adnan menjawab soalan Datuk Md Sohaimi Mohamed Shah (BN-Sungai Lembing), mengenai fahaman liberalisme dan pluralisme yang mengancam agama Islam termasuk agama lain.

Adnan berkata, keadaan itu disebabkan mereka liberal dan tidak mahu terikat dengan mana-mana ajaran serta hukum-hakam agama masing-masing.

“Fahaman terbabit menganjurkan pengikutnya terutama umat Islam supaya membebaskan diri daripada kepercayaan, peraturan dan undang-undang Islam yang menjadi asas keimanan serta ketakwaan kepada ALLAH SWT.

“Pada masa sama, fahaman mereka menghalalkan pergaulan bebas, perkahwinan sejenis, perbuatan murtad dan segala bentuk kemungkaran lain kononnya atas nama individu serta hak asasi manusia,” katanya.

Beliau berkata, jika dibiarkan menular, perkara itu akan menyebabkan berlakunya keadaan apabila masyarakat tidak lagi menjalani kehidupan berasaskan panduan dan pedoman agama,” katanya. -SH

0 comments:

Catat Ulasan