Perpaduan Dan Kesetiaan Untuk BN Jadi 'Winnable Party'
BN Adalah `Winnable' Parti Di Sabah: Salleh
KOTA KINABALU: Barisan Nasional (BN) adalah parti yang "winnable" atau boleh menang di Sabah, kata Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak.
Salleh yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, berkata beliau yakin sesiapa yang diketengahkan pucuk pimpinan BN sebagai calon, akan memperoleh kemenangan pada pilihan raya umum akan datang.
"Saya percaya dengan adanya kerjasama padu di kalangan parti komponen, BN Sabah akan meraih kemenangan yang selesa pada pilihan raya umum ke-13 nanti.
"Kita kena ingat dalam pilihan raya yang ke-12 kita hanya kalah satu kerusi parlimen dan satu kerusi Dun (dewan undangan negeri)..jadi 'benchmark' kita tinggi," katanya kepada pemberita selepas melancarkan buku bertajuk 'Alien Menchari Chinta' di kampus induk Universiti Malaysia Sabah, Likas, dekat sini hari ini.
Beliau juga yakin BN akan menang dengan majoriti dua pertiga dan Sabah sebagai 'fixed deposit' akan menjadi penyumbang besar.
Salleh berkata, pendekatan BN Sabah kini lebih kepada memberi penjelasan kepada rakyat agar tidak keliru dengan tohmahan dan fitnah yang dilontar parti lawan.
Beliau berharap semua pemimpin BN merapatkan perpaduan dan bukan sekadar "turun padang" tetapi "mengurus padang" iaitu menyelesaikan masalah rakyat.
"Kalau kita tidak dapat selesaikan kita perlu jelaskan kenapa ia perlu masa untuk diselesaikan dan apa yang penting kita jangan bohong rakyat," katanya.
Ditanya sama ada beliau sedia bertanding atas tiket BN pada pilihan raya umum akan datang, bekas ketua menteri itu berkata terpulang kepada pucuk pimpinan untuk memutuskannya.
"Sokong siapa sahaja yang dicalon oleh parti dan kerja kuat untuk kemenangan parti.
"Walaupun pada pilihan raya umum yang lepas saya tidak dipilih namun saya masih setia kepada UMNO dan BN," katanya. -BERNAMA
0 comments:
Catat Ulasan