Keputusan Shahrizat Ambil Cuti Tepat! - PM @NajibRazak


PARIT BUNTAR 14 Jan. - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan keputusan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil mengambil cuti selama tiga minggu adalah keputusan yang tepat.

Beliau berkata, ia akan membolehkan pihak berkuasa membuat siasatan terhadap Shahrizat sama ada beliau terbabit atau tidak dengan isu Perbadanan Fidlot Nasional (NFC).

Najib berkata, ia termasuk siasatan dari awal lagi sama ada Shahrizat sebagai seorang menteri terbabit dalam proses pemberian projek itu kepada keluarganya.

"Ya, saya dah berbincang dengan Shahrizat. Keputusan untuk ambil cuti itu adalah keputusan yang tepat untuk membolehkan pihak berkuasa jalankan siasatan yang rapi.

"Dan Datuk Seri Sharizat beritahu dia sanggup disiasat sepenuhnya dan apa yang akan berlaku kemudian tertakluk kepada hasil siasatan itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan di sini hari ini.

Shahrizat dalam satu kenyataan Khamis lepas mengumumkan telah memohon bercuti rehat selama tiga minggu mulai semalam daripada menjalankan tugas sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Shahrizat berdepan isu NFC yang diterajui suaminya, Dr. Mohamad Salleh apabila Laporan Ketua Audit Negara 2010 pada Oktober lalu menyatakan NFC gagal memenuhi matlamat penubuhannya. - BERNAMA

0 comments:

Catat Ulasan