Apakah Kebaikan Jika UMNO Dan PAS Bersatu??
Saya menarik nafas lega apabila Mursyidul Am Pas menyatakan kesediaan bermuzakarah dengan Umno bagi bincang isu yang timbul dalam kalangan umat Islam dengan lebih menyeluruh. Langkah pertama ini mesti disahut Umno tanpa menoleh lagi. Tidak perlu sindirmenyindir atau mempertikaikan keikhlasan antara satu sama lain. Tidak ada faedahnya.
Berbincanglah secara baik. Tiba-tiba beberapa hari selepas itu, Mursyidul Am Pas mengenakan beberapa syarat yang menghalang memulakan langkah pertama itu. Presidennya pula berkata, tidak ada dialog sebelum PRU13. Persoalan saya, kenapa merumitkan keadaan? Bersemukalah dahulu.
Hulurkan tangan sebagai tanda persaudaraan. Kenapa mesti beri syarat menerima pakatan ultra kiasu yang jelas menentang Islam?
Mengenakan syarat sebegini menampakkan ketidakikhlasan kita. Sampai bila kita mahu bergaduh dan berpecah. Tidakkah kita terfikir, orang lain semakin jauh meninggalkan kita dan ada merancang memusnahkan kita.
Fahamilah real politik Malaysia. Ingatlah parti Melayu Islam (Pas dan Umno) tidak boleh menang sendirian, jika mereka tidak bersatu, kerana kita hanya ada 50 peratus. Umat Islam memerlukan antara satu sama lain. Dua parti umat Islam ini sudah cukup untuk saling memperkukuhkan Islam jika ada kemahuan. Tidak perlu harapkan kepada PKR. Mereka hanya parti nyamuk. Nyamuk-nyamuk ini membawa banyak virus.
Setiap hari kedengaran, ahli-ahli PKR sibuk berebut mahu menjadi calon menjelang PRU13. Agenda Melayu Islam entah ke mana. Kerja tidak buat juga. Maklumlah, mereka masih lagi membawa ‘perangai lama Umno’. Lebih kelakar lagi, dalam keadaan demikian pun mereka masih menganggap mereka kuat. Mahukan kerusi tambahan di setiap negeri sehingga mengetepikan parti senior seperti Pas. Begitulah sombongnya mereka yang menguasai Selangor hari ini.
Bayangkan jika mereka mendapat beberapa negeri lagi, bertambah bongkak jawabnya. Perkara utama perlu dijadikan tajuk perbincangan adalah mengenai perpaduan dan menyelamatkan akidah umat Islam daripada ancaman ultra kiasu. Jangan biarkan orang Melayu menjadi ahli parti ultra kiasu. Menyertai dan bersuhabat dengan parti ultra kiasu adalah isu akidah. Mereka mahu tukar negara ini kepada negara sekular, mahu menghalalkan LGBT, dan lain-lain. Sekurang-kurang Umno masih cenderung kepada Islam dan menentang LGBT. Mana lebih baik bergabung dan berkawan?
Saya ingin menawarkan diri menjadi orang tengah atau moderator muzakarah ini. Lagipun saya orang Cina Islam kurang kepentingan antara dua parti Melayu ini. Saya bersetuju pendapat sayap Ulama Muda Umno, perbincangan itu mesti dilaksanakan dengan ilmiah, bukannya berlandaskan emosi dan sanggup menerima kebenaran berasaskan al-Quran dan Sunnah, selari petunjuk Nabi Muhammad SAW dan sahabat Baginda. Saya yakin selepas muzakarah ini parti ultra kiasu Cina dan Melayu akan kecut perutnya. Hari ini mereka begitu bongkak. Parti ultra kiasu amat yakin mereka akan dapat menarik orang Melayu untuk memasuki parti itu di sebalik peletakan jawatan Tunku Aziz Tunku Ibrahim.
Umum mengetahui, orang Melayu yang menyertai parti ultra kiasu, ilmu Islamnya cetek. Inilah Melayu yang diinginkan oleh ultra kiasu. Mudah diperalatkan. Pandangan mereka tidak selari dengan Islam. Mereka mahukan Islam yang liberal. Lihatlah telatah seorang anak muda Melayu, yang menjadi pegawai pemimpin ultra kiasu. Saya tidak hairanlah dia berperangai sedemikian, kerana bapanya juga dahulu bukan suka kepada Islam.
Saya ingatkan umat Islam, berpolitiklah secara matang. Untuk mengalah ultra kiasu bukan dengan tarian punggung, jual burger depan rumah. Perbuatan sebegini tidak mendatangkan faedah, malah memalukan. Cara kita berdepan ultra kiasu dengan hujah ilmu dengan menguruskan negara penuh integriti. Ingatlah hari ini cabaran kita semakin hebat. Ultra kiasu berada di mana-mana hatta dalam rumah sendiri. Minggu lalu, di Kuantan kumpulan ultra kiasu berdemonstrasi mendesak kerajaan memberikan kebenaran mendirikan lebih banyak sekolah persendirian Cina di seluruh negara. Jika kerajaan tunduk kepada tekanan ini, sekolah persendirian akan tumbuh macam kulat. Mereka tidak ada masalah dari segi kewangan. Jutawan mereka berada di merata tempat.
Dalam demonstrasi tersebut, pemimpin ultra kiasu mahukan dua resolusi diterima, iaitu menyokong sepenuhnya penubuhan sebuah sekolah persendirian dan mendesak kerajaan mendengar tuntutan rakyat supaya meluluskan sekolah tersebut. Persoalan saya, siapakah rakyat dimaksudkan itu? Untuk makluman semua, saya difahamkan kerajaan tunduk, dengan mengiktiraf sijil UEC dan diterima masuk melanjutkan pelajaran ke maktab perguruan. Tidak mustahil selepas ini kesemua IPTA. Walaupun beberapa syarat dikenakan, seperti mendapat kepujian dalam BM, Inggeris dan melalui proses temu duga, adakah itu cukup dalam pembinaan negara dan bangsa? -
KLXpress
0 comments:
Catat Ulasan