PANASSS!! Dato' @SaifuddinAbd Sokong #Bersih !!!


Bengang pulak MyMassa bila baca artikel Dato' Saifuddin Abdullah, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi di Sinar Harian.

Bersih 3.0 bukan Arab Spring
SAIFUDDIN ABDULLAH
28 Mei 2012 
Perhimpunan Bersih 3.0 telah sebulan berlalu. Tetapi, perbincangan tentangnya masih hangat, seolah-olah ia berlaku semalam. Saya tidak menyokong Bersih 3.0. Tetapi, saya tidak memandangnya dengan sebelah mata sahaja. 
Saya juga tidak menyokong Bersih 2.0. Tetapi, saya bersetuju dengan banyak daripada tuntutannya. Kerana itu, saya amat teruja apabila Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen berhubung dengan penambahbaikan proses pilihan raya (JPP) ditubuhkan. Apalagi, kerana ia dibentuk secara bi-partisan antara Ahli Parlimen BN dan PR. Laporan JPP meluluskan 18 daripada 22 syor jawatankuasa. 
Meskipun terkilan kerana ia tidak mempunyai peta jalan yang jelas tentang apa yang akan dilaksanakan secara segera, jangka sederhana dan jangka panjang, namun ia tetap merupakan satu dokumen yang perlu diterima baik. 
Apabila Bersih 3.0 diumumkan sebaik sahaja laporan JPP diluluskan Dewan Rakyat, saya menyatakan bahawa penganjurnya terburu-buru. Sepatutnya, berilah peluang untuk laporan JPP itu mula dilaksanakan terlebih dahulu. 
Namun, kehadiran Bersih 3.0 lebih besar daripada Bersih 2.0. Ia lebih multi-kaum. Belia, termasuk mahasiswa, begitu ramai. Lebih menarik ialah penyertaan golongan kelas menengah.  
Dalam konteks ini, penyelidikan Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL) tentang PRU13 adalah relevan.Menurutnya, 49 peratus pengundi telah membuat keputusan akan mengundi BN, 21 peratus akan mengundi PR, manakala 30 peratus belum membuat keputusan (atas pagar).
Sebahagian daripada pengundi atas pagar ialah belia/mahasiswa dan kelas menengah. Ada dalam kalangan mereka menyertai Bersih 3.0. Penyelidikan itu dibuat sebelum itu. Bagaimanakah kedudukannya kini? 
Kita perlu sedaya upaya mempunyai pandangan yang benar dan adil terhadap Bersih 3.0. Oleh itu, wajar meneliti pelbagai video, tulisan, maklum balas dan post mortem daripada pelbagai sumber, termasuk daripada pihak yang tidak sealiran dengan kita.
Terdapat ramai yang menyertainya kerana objektif yang tiada kaitan dengan manamana parti politik. Objektif mereka pelbagai. Tidak terhad hanya kepada soal sistem pilihan raya sahaja. Ada objektif lain, seperti PTPTN dan Lynas. 
Ada beza antara majoriti menyertainya secara aman dengan segelintir yang menimbulkan insiden tidak diingini. Ada beza antara majoriti anggota polis yang menjalankan tugas dengan profesional dengan segelintir yang berlaku aneh, misalnya, terhadap orang media. 
Saya mengalu-alukan resolusi Mesyuarat Agung Luar Biasa Majlis Peguam Malaysia. Begitu juga langkah Suhakam untuk mengadakan pendengaran awam.
Saya tidak bersetuju kalau Bersih 3.0 dituduh sebagai dipengaruhi komunis atau ingin menjatuhkan kerajaan dengan demonstrasi jalanan. 
Jauh sekali kalau ia dianggap seakan-akan Arab Spring. Ini kerana faktor-faktor yang menyebabkan berlakunya Arab Spring tidak wujud di sini. Kalaupun ada yang hendak dibandingkan, maka, ia mungkin berupa sedikit elemen anti-Marcos atau, yang terdekat, anti-Suharto. Tetapi, pokoknya bukan Arab Spring. 
Pada masa sama, Datuk Ambiga Pengerusi Bersih amat kecil jika dibandingkan dengan Aung Sang Suu kyi. Tetapi, kalau langkah mengurung Aung Sang Suu Kyi di dalam rumah menjadikannya idola antarabangsa, maka, saya waspada melihat langkah mengepung rumah Ambiga dengan aktivitiaktiviti tertentu itu. 
Bersih 3.0 bukan Arab Spring. Bukan juga anti-Marcos atau anti- Suharto atau pro-Aung San Suu Kyi. Tetapi, ini tidak bermakna kita boleh memperlakukannya sesuka hati. Sebaliknya, kita perlu berhati-hati. Kerana kita tidak mahu ada pihak yang menyimpan di dalam hati.  
http://www.sinarharian.com.my/kolumnis/saifuddin-abdullah/bersih-3-0-bukan-arab-spring-1.51508

 Kepada Dato' Saifuddin Abdullah, daripada menyibuk hal BERSIH, lebih baik Dato' tulis artikel pasal PTPTN yang lebih berkaitan dengan Kementerian yang Dato' telah diamanahkan untuk menjaganya. Lebih baik Dato' beri penerangan kepada mahasiswa dan mahasiswi tentang peri pentingnya belajar bersungguh-sungguh dan menukarkan PTPTN kepada biasiswa.

Ini tidak. Dato' terlalu perjuangkan kebebasan akademik sehingga lebih ramai mahasiswa Melayu dibuang universiti kerana kealpaan mereka melawan pentadbir universiti sehingga mereka hanya dapat CGPA cukup makan.

Tolonglah fokus kepada Kementerian Dato' kerana kementerian Dato'lah antara kementerian yang menyebabkan rakyat marah kepada Kerajaan kerana tidak perform. Lihatlah ranking-ranking universiti jatuh sebaik sahaja Dato' pegang portfolio Timbalan Menteri Pengajian Tinggi.

Siapa tak sokong kebebasan. Tetapi kebebasan ada hadnya. Jangan Dato' terlalu bebas menyebarkan fahaman politik baharu sehingg terlupa tugas hakiki. - MyMassa


0 comments:

Catat Ulasan