Dewan Negara Luluskan 3 Undang-Undang Baru...


Dewan Negara pada Isnin meluluskan tiga rang undang-undang iaitu Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2011) 2012; Rang Undang-Undang Pembayaran dan Adjudikasi Industri Pembinaan 2011 serta Rang Undang-Undang Pengantaraan 2012.

Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2011) 2012 memperuntukkan sejumlah RM10,290,243,800 kepada beberapa kementerian dan jabatan bagi membiayai perbelanjaan tambahan bagi perkhidmatan.

Rang Undang-Undang Pembayaran dan Adjudikasi Industri Pembinaan 2011 pula bertujuan memudahkan pembayaran yang tetap serta tepat pada masanya, mengadakan peruntukan bagi suatu mekanisme untuk penyelesaian pertikaian yang cepat melalui adjudikasi serta peruntukan bagi remedi untuk mendapatkan bayaran dalam industri pembinaan.

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Yong Khoon Seng, ketika menggulung perbahasan, berkata akta itu memberi alternatif lebih mudah dan cepat berbanding kaedah timbang tara atau mahkamah bagi menyelesaikan masalah pembayaran antara subkontraktor dengan kontraktor utama.

"Namun, apa yang penting subkontraktor perlu mempunyai perjanjian kontrak dengan kontraktor utama. "Kementerian akan membuat jerayawara bagi memastikan subkontraktor mengetahui cara penyelesaian ini," katanya.

Sementara itu, Rang Undang-Undang Pengantaraan 2012 bertujuan menggalak dan mempertingkat pengantaraan sebagai suatu kaedah penyelesaian pertikaian alternatif dengan mengadakan peruntukan bagi proses pengantaraan yang memudahkan pihak dalam pertikaian menyelesaikannya secara adil, cepat dan berkesan daripada segi kos.

Semua rang undang-undang itu diluluskan tanpa pindaan. - mStar

0 comments:

Catat Ulasan