#UMNO66 : Ucapan Penuh Naib Presiden @MuhyiddinYassin Di #GelombangMerah
Alhamdulillah, segala puji dan syukur ke hadrat Allah SWT, yang memungkinkan pertemuan keluarga besar UMNO pada hari yang sangat berbahagia ini. Izinkan saya sebagai Pengerusi Pengurusan terlebih dahulu menyampaikan ucapan SELAMAT DATANG ke himpunan TERBESAR yang pernah UMNO anjurkan sepanjang 66 tahun penubuhannya. Kehadiran ‘orang UMNO’ dari seluruh pelosok tanah air ini membawa dengannya gelombang semangat dan perasaan yang luar biasa. Pertemuan ini pastinya mempunyai makna dan pengertian yang amat besar untuk setiap daripada kita, ‘orang UMNO’ yang sentiasa TAAT dan SETIA kepada perjuangan suci parti.
Syukur, disaat UMNO melangkah ke usia matangnya 66 tahun, jiwa kita orang UMNO kian marak dan segar dengan erti perjuangan; hati kita, ‘orang UMNO’ kian utuh dan teguh, dengan semangat dan jiwa khidmat kepada rakyat; semangat kita, orang UMNO, kian mantap dan ampuh. Saya yakin dan percaya, semangat juang ini tidak akan pernah luntur sama sekali.
Yakinilah, asal hayat UMNO ini diiringi dengannya doa tulus para ulama’, kata sepakat pejuang bangsa, ikrar setia kaum ibu, semangat juang anak muda, yang mahu melihat bangsanya bermaruah dan dihormati di bumi sendiri. Alhamdulillah, perjuangan yang sedemikian tulus telah dipermudahkan oleh Allah SWT.
Dengan keizinan dan redha Allah SWT jua, UMNO kekal sebagai parti teras politik negara. Berkat kerjasama dengan rakan-rakan komponen Barisan Nasional, parti kita telah diberi mandat oleh rakyat untuk mentadbir negara. Sejak merdeka hingga ke hari ini, UMNO dan Barisan Nasional menjadi tonggak siasah nusa. Ini adalah satu kembara politik luar biasa. Parti UMNO yang kita dokong selama 66 tahun ini, pantas meneraju kemajuan bangsa, mencipta kegemilangan negara.
Justeru, marilah kita menjadikan perhimpunan ini sebagai medan kita meneguh keyakinan, memperkuat azam, memperkukuh harapan – dan dengan rasa rendah diri dan tawadhu’; meraikan kejayaan kita melayari bahtera UMNO selama ini. Marilah kita kalungkan penghargaan yang tidak terhingga kepada para pejuang dan pendekar UMNO terdahulu, samada yang masih hidup atau yang telah kembali ke rahmatullah.
Mudah-mudahan segala jasa mereka kepada agama, bakti mereka kepada bangsa, khidmat mereka kepada negara, diberkati dan dirahmati oleh Allah s.w.t. Marilah, kita tuluskan hati, membaca ummul-kitab, Al Fatihah kepada mereka yang telah pergi mendahului kita. Al Fatihah.
Perhimpunan ini menjadi saksi bahawa perjuangan suci UMNO diwarisi dari generasi ke generasi. Nenek moyang kita adalah pejuang UMNO yang sejati. Kita pula adalah penerus perjuangan UMNO yang hakiki. Dan menjadi tanggungjawab kita jualah, agar anak-anak dan cucu-cucu kita nanti mewarisi perjuangan yang suci ini.
Sesungguhnya, tanggal 11hb Mei 1946 akan kekal tertempa di atas tinta emas sejarah, bahawa lahirnya sebuah wadah yang memperjuangkan hak, untung nasib dan masa depan umat Melayu. Selama lebih enam dekad, UMNO melangkah dengan derap keyakinan. UMNO melangkah seiring dengan harapan dan cita-cita rakyat. UMNO melangkah dengan kesetiaan dan kebijaksanaan.
LANSKAP BARU & TRANSFORMASI POLITIKSaudara dan saudari yang saya hormati,
Kita mengakui bahawa hakikatnya kita berada di detik masa perjuangan yang berbeza. Lanskap politik sudah berubah. Pendekatan kita juga sudah berubah. Namun, nilai dan matlamat perjuangan UMNO kekal utuh. UMNO sudah membuktikan kemampuan untuk berubah mengikut kesesuaian masa tanpa mengorbankan asas dan matlamat perjuangan parti. 66 tahun umur UMNO menyaksikan kita tidak pernah berkompromi dengan apa yang kita perjuangkan. Hari ini, UMNO mempelopori agenda transformasi Negara. Dengan iradat politik UMNO jualah, kita mempertahan prinsip-prinsip Kenegaraan, berasaskan Rukunegara dan keluhuran Perlembagaan.
UMNO amat bertuah kerana bahteranya senantiasa dihadirkan dengan nakhoda yang berwibawa. Hari ini, YAB Dato’ Sri Mohd. Najib Tun Razak menjadi nakhoda bahtera UMNO yang mempunyai lebih 3 juta ahli. Marilah kita seluruh orang UMNO memberikan sepenuh kesetiaan dan keyakinan kepada kepimpinan YAB Dato’ Sri Mohd. Najib, dan bersamanya, kita akan memastikan UMNO terus relevan dan mendapat tempat di hati rakyat. Marilah kita bersama-sama memberikan keyakinan, bahawa UMNO dan seluruh warga komponen Barisan Nasional sudah bersedia dalam memastikan iltizam kita mendapat mandat yang lebih besar dalam pilihanraya yang akan datang dapat direalisasikan.
BERDEPAN DENGAN CABARAN PILIHANRAYA
Suka saya mengingatkan seluruh ahli UMNO bahawa kita tidak punya banyak masa lagi untuk bersiap siaga. Pilihanraya sudah benar-benar hampir tiba. Kita harus menyediakan saf pejuang UMNO yang sebenar-benarnya kuat bekerja dan mampu memenangi hati rakyat. Inilah saat dan ketikanya UMNO akan berhadapan dengan dugaan paling getir.
PRU-13 adalah ibu segala pilihanraya yang akan menentukan kelangsungan perjuangan UMNO. Ingatlah, yang kita pertaruhkan bukanlah sekadar kuasa politik, tetapi seluruh isi perjuangan dan nasib sebuah bangsa. Jangan kita biarkan musuh-musuh kita merosakkan perpaduan dan keharmonian yang telah kita bina. Jangan benarkan mereka menyebarkan dakyah dan ideologi songsang yang mempengaruhi akidah kita. Jangan izinkan mereka merosakkan amalan hidup kita yang beretika dan bermoral. Jangan sama sekali restui dan membiarkan rakyat dinodai dengan faham yang menyesatkan, ideologi yang mengharu birukan.
Dalam meneruskan perjuangan parti, sayugia bagi kita orang UMNO menghayati maksud yang tersirat dalam Surah Al-Taubah, ayat 41:
Yang bermaksud : Pergilah kamu beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah), samada dengan keadaan ringan ataupun dengan keadaan berat, dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah. Yang demikian amatlah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui.
Marilah kita mengambil iktibar daripada ayat ini yang menyeru umat Islam agar mara ke medan perang di Tabuk dengan semangat jihad yang kental. Alhamdulillah, walaupun pelbagai rintangan dihadapi, tentera pimpinan Rasulullah s.a.w. telah memenangi Perang Tabuk dan berjaya menghalang kemaraan tentera Rom yang ingin menakluki empayar Islam. Maka, marilah kita menghayati dan menyemangati firman Allah s.w.t - Infiru khifafan wa thiqala - berjuanglah dalam keadaan berat mahupun ringan, maralah ke medan perjuangan dengan semangat dan tekad jihad yang kental. Insya’Allah, kemenangan pasti milik kita. Allah berfirman dalam Surah Al-Imran, ayat 159 : Apabila kamu membulatkan tekad, maka bertawakallah kepada Allah.
Jangan sesekali kita lupa, bahawa UMNO perlu kekal sebagai BENTENG kepada rakyat. UMNO sebenar-benarnya PEMBELA RAKYAT. Andaikata kita membenarkan benteng ini rosak dan terhakis, maka akan rosaklah segala kota perpaduan dan keharmonian yang terbina selama ini.
YAB Presiden, kami telah bersedia mengorak langkah. Taat setia sudah kami tumpahkan. Tekad dan iltizam telah kami ikrarkan. Tiuplah semboyan perang. Ayuh kita ke medan juang. Tiadalah yang paling bermakna buat parti kita, melainkan kemenangan dalam pilihanraya akan datang.
Buat semua ahli UMNO, izinkan saya mengucapkan Selamat Ulangtahun UMNO ke-66. Marilah kita jadikan perhimpunan bermakna ini, sebagai pembuktian bahawa kita generasi penerus perjuangan UMNO yang sejati, pantang berundur sebelum berjuang.
Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga pertubuhan Melayu, badan-badan bukan kerajaan, kakitangan awam, pemimpin masyarakat dan semua pihak yang telah bersama-sama UMNO menegakkan perjuangan membela agama, bangsa dan negara.
Gegak gempita, himpun berpadu;
Mengikat janji; rumpun Melayu;
UMNO dirai, tetap bersatu;
Membela Rakyat, setiap waktu;
Putih tulang, menjulang pertiwi;
Mewarisi semangat, pendekar bangsa;
UMNO dan Rakyat; akal dan budi;
Menjadi tonggak, membina Negara;
Hidup UMNO! Hidup UMNO! Hidup UMNO!
Wabillahi al-taufik wal-hidayah wassalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh. -
AD
0 comments:
Catat Ulasan