Demonstrasi Di Pulau Pinang???


Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan Sahabat Alam Malaysia (SAM) kecewa dengan kerajaan negeri Pulau Pinang yang meluluskan banyak projek pembangunan sehingga menjejaskan kehidupan penduduk setempat dan alam sekitar.

Presiden CAP yang juga Presiden SAM, S.M Mohamed Idris berkata, pihaknya mendapati kualiti alam sekitar di Pulau Pinang semakin merosot berikutan pelaksanaan projek pembangunan tanpa perancangan yang teliti terhadap aspek berkenaan.

“Berdasarkan tinjauan dan aduan yang diterima, kami mendapati masalah alam sekitar dan ancaman pencemaran berlaku dan berleluasa terutama kegiatan pemusnahan hutan bagi melaksanakan projek pembangunan di kawasan bukit.

“Kawasan bukit di sekitar negeri ini terutama di bahagian pulau diteroka secara rakus untuk pembinaan rumah-rumah mewah dan ia dilaksanakan tanpa mengambil kira kesan buruk ke atas alam sekitar dan penduduk setempat," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menyertai sekumpulan anggota CAP dan SAM mengadakan perhimpunan secara aman di hadapan tapak pembinaan kondominium bagi membantah projek itu di lereng bukit di Bukit Gambir di sini hari ini.

Mohamed Idris berkata, penduduk yang tinggal berhampiran bukit seperti di Sungai Ara dan Tanjung Bungah juga telah merayu kepada kerajaan negeri dan Majlis Perbandaran Pulau Pinang untuk membatalkan cadangan projek pembangunan di lereng bukit berhampiran kawasan mereka.

“Penduduk di kawasan itu selalu menghadapi masalah banjir kilat akibat hakisan dan mendapan tanah berikutan pembangunan di lereng bukit di situ.

“Mereka juga telah kemukakan bantahan kepada kerajaan negeri tetapi sehingga kini tiada tindakan diambil oleh pihak-pihak berkaitan," katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut bimbang dengan pembangunan pesat di Pulau Pinang kerana ia akan merosakkan kualiti hidup penduduk.

“Kita perlu pastikan bukit-bukau dilindungi daripada pembangunan dan memastikan sungai dan udara kita bersih supaya kualiti hidup rakyat terpelihara," katanya.

Katanya, kerajaan negeri perlu membuat pemantauan secara berterusan bagi memastikan tiada faktor penyumbang yang boleh mencetuskan masalah alam sekitar di Pulau Pinang. - utusan

0 comments:

Catat Ulasan