Impian Pesakit Tumor Saraf Berjumpa PM @NajibRazak Tercapai!!


Impian Adam Akbar Ali, 10, pesakit tumor saraf tunjang untuk bertemu pemimpin nombor satu negara, Datuk Seri Najib Tun Razak, tercapai hari ini.

Dalam pertemuan kira-kira 10 minit bersama Perdana Menteri, Adam ditemani bapanya, Akbar Ali Mohamed Noordin, 43, dan ibu, Siti Rogayah Syed Ismail, 32, di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra di sin, Khamis.

Najib beramah mesra dengan Adam dan memberi kata-kata semangat kepadanya kerana bakal menjalani pembedahan di Hospital John Hopkins, Amerika Syarikat pada 20 Jun ini.

Dalam kad ucapan kepada Adam, Perdana Menteri menulis "Kpd (kepada) Sdr (saudara) Adam Akbar, semoga Allah akan memberi Rahmatnya kpd Adik Adam dalam menjalani pembedahan. Saya berdoa adik Adam akan cepat pulih".

Sementara itu, Adam turut menyampaikan kad ucapan yang ditulisnya, "Salam Datuk Seri Najib. I Love U. Terima Kasih" kepada Najib. Dalam pertemuan yang singkat itu, Perdana Menteri mahu Pejabat Perdana Menteri membantu mempercepatkan visa Adam ke Amerika Syarikat.

Selain itu, beliau mahu Pejabat Perdana Menteri menghubungi pihak Hospital John Hopkins untuk memberi rawatan terbaik kepada Adam.

Ketika ditemui pemberita, Adam berkata dia berasa sangat gembira kerana impiannya untuk bertemu Perdana Menteri tercapai hari ini.

"Perdana Menteri telah memberi kata-kata semangat kepada saya. Beliau turut mendoakan agar saya cepat sembuh. "Terima kasih, Perdana Menteri sebab menolong Adam," katanya.

Pertemuan kanak-kanak itu dengan Perdana Menteri diatur oleh Sinar Harian.

Sementara itu, Akbar Ali turut mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri yang meskipun sibuk namun meluangkan masa untuk bertemu Adam yang bakal menjalani pembedahan di Amerika Syarikat.

"Pertemuan ini akan menjadi pemangkin dan pencetus semangat kepada Adam agar dapat mengharungi cabaran, sembuh dan kembali ceria seperti kanak-kanak lain," katanya.

Adam menghidap penyakit tumor saraf tunjang atau 'intramedullary cervical spinal cord tumor' sejak empat tahun lepas.

Tumor atau ketumbuhan yang berada pada saraf tunjangnya telah mengganggu saraf kaki, tangan dan pernafasan.

Semalam, Kerajaan Negeri Terengganu memberi sumbangan RM100,000 dan 1MCA Medical Foundation pula menderma RM20,000 untuk menampung kos pembedahannya. -BERNAMA

0 comments:

Catat Ulasan