PTPTN Tak Wajar Sekat Pelajar UNISEL - @KhairyKj


Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) tidak wajar menyekat penuntut Universiti Selangor (Unisel) daripada terus menikmati kemudahan pinjaman agensi itu walaupun pembangkang berpendirian ia patut dimansuhkan, kata Khairy Jamaluddin hari ini.

Ketua Pemuda Umno menegaskan, para penuntut tidak seharusnya menjadi mangsa dalam perbalahan antara PTPTN dan Kerajaan Selangor.

"Walaupun terbukti Kerajaan Selangor gagal untuk memberikan pendidikan percuma kepada negeri yang ditadbir oleh mereka, perkara sebegini tidak seharusnya berlaku kerana keutamaan harus diberi kepada pelajar.

"Mereka ini datang daripada pelbagai kelompok, bukan semua berkemampuan untuk membayar yuran pengajian.

"Oleh itu PTPTN harus mengambil kira perkara tersebut sebelum membuat sebarang keputusan mengenai pembekuan itu," kata beliau dalam satu kenyataan SMS hari ini.

Semalam, pemimpin-pemimpin PKR termasuk Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengecam tindakan PTPTN menyekat kemudahan pinjaman kepada pelajar Unisel.

Unisel terletak di bawah Kerajaan Negeri Selangor.

Mereka mendakwa PTPTN mengambil tindakan itu atas arahan Khaled.

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli mendakwa Khaled menyekat kemudahan PTPTN kepada penuntut-penuntut Unisel.

"Saya mencabar Datuk Seri Khaled Nordin untuk menjelaskan kepada rakyat sama ada tindakan menyekat pinjaman PTPTN kepada pelajar Unisel ini adalah arahan beliau sendiri?

"Jika itu benar, tindakan itu perlu dikutuk dan beliau wajar meletakkan jawatan kerana mengamalkan politik berdendam yang tidak lagi sesuai dengan arus politik mutakhir," kata beliau.

Selepas mesyuarat Exco Kerajaan Negeri semalam, Khalid berkata, Kerajaan Persekutuan tidak ada hak untuk menyekat permohonan pinjaman Perbadanan PTPTN pelajar-pelajar baru yang akan mendaftar di Unisel.

Sehubungan itu tegas Menteri Besar, tidak wajar mengheret pelajar yang tidak bersalah ke kancah politik. -sinar harian -

1 comments:

  • Tukang Komen says:
    8 Jun 2012 pada 5:58 PG

    Saya setuju pendapat KJ. Pelajar wajib dibantu. Jangan sampai pelajar menjadi mangsa politik bodoh pembangkang. Ibu bapa pelajar turut susah. Suruh saja kerajaan negeri Selangor jadi penjamin atau beri saja seperti yg lazim dibuat.

Catat Ulasan