Keamanan Malaysia Impian Negara Lain
PM Nasihat Hargai, Pertahan Keharmonian Dikecapi Rakyat Berbilang Kaum
Kuala Lumpur: Keamanan serta keharmonian dikecapi rakyat majmuk di Malaysia sentiasa menjadi impian dan dihargai negara lain, terutama yang sudah lama mengharungi konflik serius antara kaum dan agama, kata Datuk Seri Najib Razak.
Sehubungan itu, Perdana Menteri berkata, rakyat mesti menghargai, memelihara dan meraikan nikmat keamanan, keharmonian serta kemakmuran di negara ini. “Ironinya keamanan ini menjadi impian dan dicari negara lain, tetapi agak sering diambil mudah atau senang dilupakan oleh segelintir orang kita sendiri,” katanya berucap pada majlis makan malam sempena sambutan ulang tahun ke-15 Persatuan Kebajikan Ti-Ratana di sini, malam semalam.
Buktikan Kepada Dunia
Sejak mencapai kemerdekaan pada 1957, Najib berkata, kepemimpinan negara sentiasa gigih mengendalikan cabaran hebat rakyat majmuk demi memastikan Malaysia terus maju bersama keamanan, keharmonian dan kemakmuran walaupun ia sering dipandang secara skeptikal.
“Kita berjaya membuktikan kepada dunia bahawa walaupun menghadapi semua cabaran itu, kita dapat membangunkan negara untuk hidup aman dan harmoni serta mengharapkan masa depan lebih cerah.
“Inilah dipanggil cara Malaysia. Banyak negara lain sudah mencuba dan mahu belajar daripada kita, mencontohi cara Malaysia,” katanya.
Pada majlis itu, Najib turut mengumumkan sumbangan kerajaan RM1 juta untuk membantu projek Persatuan Kebajikan Ti-Ratana membina bangunan baru empat tingkat khusus bagi golongan anak-anak yatim dan kurang bernasib baik.
Dalam pada itu, Perdana Menteri yang berterima kasih kepada semua pertubuhan kebajikan di negara ini atau sumbangan mereka, percaya penganut semua agama utamai, termasuk Islam, Kristian, Buddha dan Hindu, berkongsi nilai sejagat seperti kejujuran, keikhlasan, kesederhanaan, bertimbang rasa dan bertolak ansur.
Beliau berkata, nilai itu bukan saja membentuk rakyat dan negara yang bersatu padu, tetapi juga menegakkan keadilan sosial, terutama dari segi belas kasihan dan keprihatinan terhadap golongan memerlukan bantuan.
Keperluan Asas
“Saya percaya rakyat Malaysia berhak mendapat keperluan asas manusia, memerlukan bumbung untuk berlindung, peluang maju dalam hidup dan akses kepada pendidikan berkualiti.
“Mereka mahu peluang untuk belajar kemahiran baru supaya mampu menghadapi cabaran.
“Namun bukan semua bernasib baik dan boleh mendapat keperluan itu dalam keluarga sendiri.
“Ramai kurang bernasib baik serta memerlukan bantuan. Rakyat Malaysia menunjukkan semangat prihatin dan bermurah hati kepada golongan memerlukan tanpa mengambil kira perbezaan kaum, agama dan budaya,” katanya. -BH
0 comments:
Catat Ulasan