MCA Yakin Akan Bangkit Pada PRU-13
KUALA LUMPUR 20 Okt. - MCA yakin akan bangkit semula pada pilihan raya akan datang dengan mendapat sokongan rakyat terutama daripada masyarakat Cina.
Timbalan Presidennya, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, kebangkitan tersebut berdasarkan beberapa faktor terutamanya kesan daripada proses peralihan dan transformasi Barisan Nasional (BN).
"Proses peralihan dan transformasi BN yang jelas serta prestasi negara memuaskan dan terus maju telah dirasai oleh rakyat, di samping sebagai bukti keikhlasan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam membawa Malaysia ke satu arah membanggakan.
"Namun, sebaliknya berlaku dalam pakatan pembangkang yang menaikkan Ketuanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai wira sedangkan rekodnya sungguh membimbangkan rakyat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa merasmikan Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda MCA Ke-48 di sini semalam.
Tambah Tiong Lai, kini rakyat bijak menilai berdasarkan apa yang berlaku bahawa Anwar tidak akan membawa kemakmuran, malah melambatkan pembangunan negara.
"Keadaan ini berdasarkan pengalaman lalu apabila melihat taktik buruk Anwar yang sanggup menggadaikan kestabilan negara dengan mencetuskan keadaan tidak tenteram semata-mata mahu merampas tampuk pemerintahan pada 16 September.
"Mereka juga mengamalkan sikap keterlaluan dalam kepercayaan agama dan membuat janji-janji kosong yang tidak mampu direalisasikan dari segi ekonomi," ujarnya.
Tambah Tiong Lai, kebangkitan itu juga berlaku kesan perubahan suasana sebelum pilihan raya yang mana komen-komen negatif yang menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap pemimpin BN semakin berkurangan kerana kerajaan sedia ada ikhlas membuat penambahbaikan.
"Faktor ketiga pula ialah ketulusan calon MCA berkhidmat kepada rakyat walaupun kalah pada pilihan raya lalu.
"Secara perbandingan, calon parti pembangkang tidak mempunyai sikap sebegini dan pusat perkhidmatan mereka tidak berfungsi langsung sekiranya kalah dalam pilihan raya," katanya.
Dalam pada itu, Tiong Lai berkata, pakatan pembangkang sanggup melakukan apa sahaja untuk merampas kuasa tetapi tidak dapat memberikan perkhidmatan kepada rakyat. -Utusan
0 comments:
Catat Ulasan