Malaysia Masih Teguh Terima Pelaburan Asing: DS Najib
KERTIH: Datuk Seri Najib Razak berkata, Malaysia masih berada pada landasan yang teguh dalam menerima pelaburan langsung asing (FDI) walaupun persekitaran ekonomi global dilihat tidak menentu.
Perdana Menteri berkata, bagi suku pertama 2012, negara mencatat kemasukan FDI bernilai RM13 bilion. "Jelas terbukti bahawa para pelabur asing mempunyai keyakinan terhadap negara kita sebagai destinasi pelaburan pilihan utama," katanya ketika berucap pada majlis Pecah Tanah Loji Biometionina dan Tiokimia bersepadu di Taman Biopolimer Kerteh, di sini.
Projek bernilai RM2 bilion yang terletak di kawasan seluas 70 hektar itu adalah projek kerjasama antara CJ CheilJedang dari Korea dan platform biokimia Arkema dari Perancis, yang bakal beroperasi pada Disember 2013.
Fasiliti bersepadu adalah yang pertama di dunia menggunakan proses penapisan dalam menghasilkan L-metionina, sejenis asid amino yang biasa digunakan dalam pembuatan makanan haiwan.
Majlis Pembangunan Ekonomi Wilayah Pantai Timur (ECERDC) dan Perbadanan Bioteknologi Malaysia (BiotechCorp) adalah rakan kerjasama dalam menarik pelaburan itu ke Malaysia dan merealisasikan pelaksanaannya di Taman Biopolimer Kertih.
Turut hadir Menteri Besar Terengganu Datuk seri Ahmad Said, ketua Pegawai Eksekutif CJ CheilJedang Kim Chu Ha dan Naib Presiden Eksekutif Arkema, Marc Schuller.
Najib berkata, pelaburan itu membuktikan keyakinan mereka terhadap negara ini sebagai destinasi pelaburan pilihan utama.
"Apabila kerajaan menerima pelaburan asing masuk ke negara ini, selain daripada meningkatkan ekonomi negara, kerajaan juga akan juga menimbangkan bagaimana pelaburan yang diterima ini dapat memberi limpahan manfaat kepada rakyat.
"Manfaat dari segi peluang pekerjaan, perniagaan, peningkatan taraf ekonomi dan tanggungjawab sosial korporat kepada rakyat setempat," katanya.
Mengenai projek bio-metionina, Najib berkata, loji itu adalah kemudahan pertama seumpamanya di dunia yang memproses penapaian dalam menghasilkan L-metionina.
"Saya bangga disebabkan projek ini juga adalah pelaburan utama pertama oleh syarikat industri bioteknologi antarabangsa dalam negara, yang akan meletakkan Malaysia setanding pengeluar dan pengeksport suapan lain serta membuktikan bahawa sudah muncul sebagai penggiat utama dalam forum inovasi global," katanya.
Perdana Menteri berkata, Taman Biopolimer Kertih juga adalah antara projek penting di zon ekonomi khas ECER, penumpuan projek berimak tinggi dari Kertih di Terengganu ke Kuantan Pahang, yang akan menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi di ECER.
"Saya difahamkan bahawa usaha sama antara CJ dan Arkema sahaja diunjur menjana pendapatan negara kasar (PNI) sebanyak RM11.1 bilion menjelang 2020 dan RM20 bilion nilai jualan, selain menyediakan 500 peluang pekerjaan, kebanyakannya untuk penduduk tempatan," kata Najib.
Perdana Menteri berkata, kompleks biopenapisan itu dijadualkan beroperasi tahun depan, menggunakan tenaga boleh baharu daripada biojisim.
"Projek ini dijangka menjana PNI kumulatif sebanyak RM20.4 bilion menjelang 2020 dan menyediakan 2,500 pekerjaan untuk Malaysia. Dengan unjuran FDI sebanyak RM7 bilion, kompleks seluas 1,000 hektar itu dijangkakan diduduki lapan pengusaha bioteknologi global menjelang 2015," katanya. - BERNAMA
0 comments:
Catat Ulasan