RASUAH : Minta Kerajaan Gubal Peraturan



Persidangan Pertubuhan Agensi Penguat Kuasa Anti Rasuah Antarabangsa: Anggota pentadbiran tak dibenar terbabit dalam tender

Kuala Lumpur: Kerajaan diminta menggubal peraturan yang tidak membenarkan sama sekali anggota pentadbiran sama ada di peringkat Pusat atau negeri terbabit dalam pemberian projek atau tender secara langsung.

Mereka termasuk ahli keluarga Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri, Ketua Menteri, Timbalan Menteri, Menteri Besar dan Ahli Majlis Mesyuarat Negeri (EXCO).


"Usaha itu membendung kegiatan rasuah secara berkesan sekali gus meningkatkan imej dan kredibiliti SPRM pada masa depan," Shukri Abdull, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM


Ini berikutan kelompangan yang wujud pada Seksyen 23 Akta Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 menyebabkan ada kes rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan membabitkan pemimpin dan ahli keluarga mereka tidak dapat diambil tindakan.


Bendung kes rasuah
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Shukri Abdull, berkata usaha itu juga bagi membendung kegiatan rasuah secara lebih berkesan sekali gus meningkatkan imej dan kredibiliti SPRM pada masa depan.

Katanya banyak kes yang secara moralnya diketahui individu berkenaan memperoleh kekayaan dan harta benda yang banyak seperti tanah, konsesi balak dan projek menerusi kedudukan atau jawatan mereka sebagai pembuat keputusan.


Sukar beri bukti
Namun pembuktian sukar dilakukan berikutan mereka mengisytiharkan kepada Kabinet atau anggota EXCO pembabitan mereka atau ahli keluarga dalam tender atau projek berkenaan.

"Apabila mereka isytihar ahli keluarga terbabit atau mereka tidak menyertai mesyuarat sebagai pembuat keputusan,maka mereka dianggap tidak melakukan kesalahan dan tindakan tidak dapat dilakukan mengikut seksyen berkenaan.

"Mereka tahu kelemahan dan kekurangan undang-undang ini sebab itu mereka berbuat demikian. Pembuktian sukar dilakukan, tiada dokumen dan mereka yang diambil keterangan juga tidak mahu mengaku dan memberi kerjasama.

"Contoh jelas boleh dilihat dalam institusi perbankan, kalau mereka kerja di bank, ahli keluarga tidak boleh mohon pinjaman di bank berkenaan. Oleh itu peluang salah guna kuasa tidak mudah berlaku,” katanya. -BH

0 comments:

Catat Ulasan