Pemuda BN Tuntut Menteri Besar Jawab 3 Soalan


ALOR SETAR 25 Okt. - Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dituntut menjawab tiga soalan sebelum menyalahkan pihak lain berhubung kegagalan projek pembalakan dan perladangan di Papua New Guinea.

Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN) negeri, Badrol Hisham Hashim berkata, soalan pertama siapakah memberi kebenaran kepada Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Mohd. Puat Mohd. Ali ke London untuk mengadakan rundingan pinjaman kewangan bernilai RM135 juta yang dibuat oleh Kedah Corporation Berhad (KCB).

"Jika Azizan berkeras menafikan beliau tidak tahu mengenai pinjaman itu, jadi siapakah yang membenarkannya? Kalau beliau tidak memberi kelulusan, mana mungkin Mohd. Puat boleh ke sana untuk menguruskan rundingan pinjaman tersebut," katanya dalam sidang akhbar di pejabat MCA Kedah di sini semalam.

Azizan sebelum ini dilaporkan enggan mengakui kesalahan sendiri sebaliknya menyalahkan pihak pengurusan KCB berhubung kegagalan projek itu yang mengakibatkan kerugian sebanyak RM13.49 juta berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara 2011.

Laporan Ketua Audit Negara 2011 turut mendedahkan, kerajaan negeri membuat pinjaman kewangan mencecah RM135 juta sedangkan nilai projek melalui harga belian saham hanya RM31.21 juta.

Badrol Hisham berkata, Azizan juga perlu memberi penjelasan kepada rakyat siapakah yang menandatangani kelulusan pinjaman berkenaan.

Ini kerana, katanya, jumlah pinjaman yang mencecah jutaan ringgit perlu mendapat persetujuan daripada Ahli Lembaga Pengarah dan seharusnya berada dalam pengetahuan Azizan selaku Pengerusi badan perniagaan itu.

"Tidak mungkin seorang pengerusi tidak tahu mengenai pelaburan duit rakyat yang mencecah jutaan ringgit," katanya.

Beliau menambah, soalan ketiga yang wajib dijawab oleh Azizan ialah apakah status satu lagi projek KCB melibatkan pembelian lembu dari Perth, Australia untuk dieksport ke Indonesia pada 2010, sama ada ia berjalan lancar atau senasib dengan projek pembalakan di Papua New Guinea.

Katanya, Menteri Besar diminta menjawab ketiga-tiga soalan yang dikemukakan itu dengan fakta dan tidak cuba lari daripada isu dengan memberikan seribu dalih kerana rakyat Kedah ingin serta berhak mendapatkan penjelasan.

Menurutntya lagi, kenyataan Azizan yang mengumpamakan laporan atau teguran daripada pemimpin politik Kedah seolah-olah beruk memanjat pokok cermai dan menggoyangkan pokok untuk menjatuhkan buah kini terkena kepada batang hidung beliau sendiri.

"Sebenarnya beliaulah beruk kerana tidak mengakui kesilapan yang berlaku di bawah pentadbirannya. Apakah yang akan berlaku kepada rakyat Kedah apabila mendapat pemimpin seperti ini?," soalnya.

Sementara itu, Badrol Hisham menyifatkan tindakan ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) daripada Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PRK) mendesak Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Rasli Basir meletak jawatan baru-baru ini adalah satu sandiwara politik.

Katanya, tindakan itu dipercayai untuk mengalih tumpuan rakyat daripada pelbagai isu yang membelenggu kerajaan negeri diterajui Pas pada masa ini.

Menurutnya lagi, desakan dilakukan oleh ahli majlis PBT yang merupakan lantikan politik itu adalah perbuatan memalukan dan biadab serta tidak menghormati Sultan Kedah, kerana pelantikan SUK hanya boleh dibuat dengan perkenan baginda.

'Tindakan mendesak Rasli meletak jawatan itu juga sangat aneh kepada beliau dipilih oleh kerajaan negeri dan telah diperkenankan oleh Tuanku Sultan Kedah," katanya.

Dalam pada itu, Badrol Hisham turut membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar kira-kira pukul 11.30 pagi ini berhubung isu projek pembalakan dan peladangan bernilai RM31.21 juta oleh KCB di Papua New Guinea yang mengakibatkan kerugian sebanyak RM13.49 juta itu. -Utusan

0 comments:

Catat Ulasan