Kerajaan Peruntuk RM17.49j Laksana 219 Projek Kecil Transformasi Luar Bandar


KOTA BHARU: Kerajaan pusat memperuntukkan kira-kira RM17.49 juta bagi melaksanakan 219 projek kecil transformasi luar bandar di seluruh Kelantan pada tahun ini. 

Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan Negeri Kelantan, Datuk Makhtar Mustafa berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM5.71 juta diperuntukkan kepada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah bagi melaksanakan 40 projek seperti membina dewan dan balai raya, jambatan kecil, jalan perhubungan desa dan gelanggang futsal.

Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan diperuntukkan RM5.46 juta bagi melaksanakan 22 projek seperti menaik taraf klinik kesihatan dan klinik desa manakala Jabatan Pelajaran Negeri Kelantan diperuntukkan RM3.32 juta bagi melaksanakan 56 projek termasuk membina surau, mengganti surau sedia ada dan menaik taraf surau sekolah.

Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Kelantan diperuntukkan RM3 juta bagi melaksanakan 101 projek seperti menaik taraf saliran dan parit, katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Tindakan Persekutuan Negeri Kelantan di sini, semalam. 

Makhtar berkata, sebanyak 152 daripada 219 projek berkenaan sudah siap manakala baki 67 projek lagi dijangka siap sebelum akhir tahun ini. 

Beliau berkata, kesemua projek itu dilaksanakan kerajaan pusat dalam usaha mentransformasikan kawasan luar bandar supaya rakyat hidup lebih selesa. -BERNAMA

0 comments:

Catat Ulasan