TPM Ajak Rakyat Baharui Kesedaran
KUALA LUMPUR 4 Okt. - Tan Sri Muhyiddin Yassin mengajak rakyat Selangor agar mempunyai kesedaran baharu bahawa negeri itu akan jauh lebih baik jika ditadbir oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).
Sambil merujuk beberapa kelemahan dan masalah yang dihadapi kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor seperti skandal pengambilalihan hutang Talam Corporation Bhd. dan isu air, tegas Timbalan Perdana Menteri, ia membawa mesej jelas untuk rakyat menilai pentadbiran di negeri itu selama tempoh empat tahun ini.
''Sebelum ini Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan kepimpinan kerajaan BN yang lain sudah beberapa kali turun padang ke Selangor. Kita dapat maklum balas tentang pelbagai isu rakyat di negeri ini.
''Jelas rakyat kecewa tentang apa yang berlaku di Selangor yang tak pernah gawat dengan cerita-cerita tak elok. Selama empat tahun ini, bukti kelemahan yang ketara. Banyak isu tak diselesaikan. Lebih banyak berpolitik daripada (buat) kerja. Rakyat dah muak dan rasa sudah sampai waktunya beri peluang balik kepada BN,'' katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program mesra rakyat bersama penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang, Subang, dekat sini hari ini.
Muhyiddin berkata, rakyat di Selangor khususnya golongan belia semakin memahami dasar-dasar yang dilaksanakan kerajaan dan untuk itu mereka diyakini sudah bersedia untuk kembali menyokong BN.
Terdahulu dalam ucapannya, beliau melahirkan kebimbangan terhadap pentadbiran Selangor ketika ini yang semakin mundur dan dibelenggu dengan pelbagai masalah.
''Ketika BN dahulu (mentadbir Selangor), ada juga satu, dua masalah tetapi kini (di bawah PKR), masalah yang dihadapi berlarutan. Banyak skandal di Selangor. Azmin Ali (Ahli Parlimen Gombak) juga ada kata Menteri Besar Selangor mungkin diganti. Eloklah supaya kita (BN) boleh tebus semula Selangor.
''Untuk itu, rakyat Selangor perlu ada kesedaran baharu. Kita boleh bekerjasama sebagai satu kumpulan,'' katanya.
Beliau turut membidas kenyataan pembangkang yang melabelkan BN sebagai 'Barang Naik'.
''Itulah, ada mata tak nampak, ada telinga tak dengar. Kita sudah membela nasib rakyat lebih 55 tahun,'' tegas beliau.
Sementara itu, beliau ketika berucap sempena program mesra warga Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bersama Timbalan Perdana Menteri di Pangkalan Udara Subang berkata, rangkaian kerja strategik antara kerajaan dan anggota keselamatan adalah perlu bagi mewujudkan negara yang baik dan selamat.
Perkara itu jelasnya, membolehkan kerajaan memfokus dan melaksanakan kerja membela nasib rakyat khususnya dalam mengurangkan bebanan rakyat yang berdepan kos sara hidup tinggi.
''Sebagai contoh, kita merupakan satu-satunya negara yang mengadakan sistem kawalan harga barang. Tidak ada negara lain berbuat demikian termasuk di China dan Amerika Syarikat.
Jika ada yang kata kerajaan tidak membela rakyat, apakah itu (sistem kawalan harga) tidak membela rakyat? Begitu juga dengan perkara-perkara lain seperti yang tercatat dalam Bajet 2013,'' jelasnya.
Selain Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar dan Koordinator Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Seri Ir. Mohd. Zin Mohamed, program mesra terbabit turut dihadiri Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi serta Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Rodzali Daud. -Utusan
0 comments:
Catat Ulasan