Pembangkang Fobia Keupayaan RAPID Jana Ekonomi


Sama ada Bajet 2013 yang dibentangkan oleh Datuk Seri Mohd Najib Razak kelmarin berupa umpan pilihan raya seperti didakwa pembangkang atau sebaliknya, reaksi positif terutama daripada pelbagai pertubuhan yang mewakili rakyat biasa, menunjukkan kerajaan mengambil kira pandangan mereka ketika merangkanya. 

Walaupun banyak memberi peruntukan besar kepada golongan yang memerlukan, kerajaan tetap memberi penekanan kepada langkah mengukuhkan ekonomi dengan memastikan sasaran pendapatan tahunan negara tercapai. Memang mustahil untuk melihat pembangkang menerima secara ikhlas apa pun yang dilakukan kerajaan, apa lagi ketika pilihan raya umum akan diadakan bila-bila masa sekarang. Malah, sejak kebelakangan ini pembangkang konsisten menentang usaha kerajaan meningkatkan ekonomi negara dan memakmurkan rakyat. Perhimpunan membantah projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) di Pengerang pagi semalam contoh terbaru usaha berterusan menggagalkan usaha menjana ekonomi dalam jangka panjang. 


Alih perhatian rakyat

Bantahan itu juga dilihat cubaan mengalihkan perhatian rakyat daripada memperkatakan soal belanjawan kepada isu lain yang sudah disusun mereka sebagai salah satu bahan kempen menjelang pilihan raya umum akan datang. Sama seperti bantahan terhadap projek pemprosesan nadir bumi Lynas di Gebeng, Kuantan dan perlombongan emas di Bukit Koman, Raub, pembangkang dengan bertopengkan kumpulan pejuang alam sekitar, akan mengelirukan rakyat dan memainkan sentimen penduduk setempat tanpa menggunakan kajian dan fakta.

RAPID yang bernilai kira-kira RM60 bilion membabitkan pembinaan 20 kilang penapisan di kawasan seluas 2,428 hektar, adalah sebahagian program pembangunan di bawah Pelan Transformasi Ekonomi (ETP) yang terbesar dan termoden di rantau ini. Projek yang dijangka mampu memproses 300,000 tong sehari itu, akan membantu meningkatkan kapasiti penapisan gas, bahan api dan diesel negara.

Keluasannya mengatasi gabungan Kompleks Petrokimia Bersepadu Kerteh dan Gebeng di Kuantan, manakala kemampuan penapisannya melebihi gabungan kapasiti kilang penapis sedia ada PETRONAS di Melaka dan Kerteh. Bayangkan manfaatnya kepada ekonomi terutama dalam menghasilkan rangkaian industri dan perniagaan sampingan apabila beroperasi 2016 nanti. 
Bagi kerja berkemahiran tinggi saja, ia menawarkan 4,000 peluang pekerjaan. Barangkali inilah yang ditakuti pembangkang. Bagi mereka, apa saja projek yang membuktikan kerajaan terus mengotakan janjinya untuk memakmurkan rakyat dan negara, mesti ditentang habis-habisan.

Bantahan bertemakan ‘Himpunan Hijau Lestari Selamatkan Pengerang’ semalam, walaupun dianjurkan Himpunan Hijau (NGO yang menganjurkan bantahan Lynas dan Bukit Koman), turut menjadi medan pidato beberapa pemimpin DAP, PKR dan PAS. Antaranya ialah Pengerusi DAP Johor, Dr Boo Cheng Hau; Ketua PKR Johor, Datuk Dr Chua Jui Meng; Suruhanjaya PAS negeri, Mahfodz Mohamed dan Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub. Turut hadir ialah ahli jawatankuasa bertindak BERSIH, Wong Chin Huat; Pengerusi Himpunan Bukit Koman, Wong Kim Hoong; dan ahli jawatankuasa Himpunan Hijau Kuantan, Clement Gan.


Bantahan bermotifkan politik

Melihat senarai nama di atas, tidak syak lagi bantahan terhadap projek RAPID memang semata-mata bermotifkan politik yang bertopengkan alam sekitar dan kononnya mahu menjaga kepentingan dan masa depan rakyat kawasan itu. Anehnya, sebelum ini tiada seorang pun pemimpin pembangkang atau pejuang alam sekitar itu mengambil tahu kehidupan rakyat kawasan itu. Sebelum FELDA membuka tanah rancangan di daerah itu kira-kira 30 tahun lalu, kebanyakan penduduknya yang terdiri daripada petani dan nelayan, hidup di bawah paras kemiskinan.

Memang setiap projek besar seperti RAPID menghadapi masalah dengan segelintir penduduk seperti pengambilan tanah, pampasan, pengalihan kubur serta beberapa pemindahan kemudahan awam lain seperti sekolah dan rumah ibadat. Bagaimanapun ini memang sudah ditangani oleh pihak yang berkepentingan seperti kerajaan negeri dan PETRONAS. 

Pihak berkuasa juga sudah memberi penjelasan dan mengadakan dialog dengan penduduk. Malah, projek yang membabitkan hanya 4,000 penduduk itu, sudah mendapat kelulusan Kesan Penilaian Alam Sekitar (EIA). Laporan EIA terperinci disediakan jururunding berdaftar dengan Jabatan Alam Sekitar bagi cadangan projek itu, diluluskan pada 27 Ogos lalu selepas ia memenuhi kehendak Seksyen 34A (2) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Kita melihat bantahan anjuran Himpunan Hijau di Pengerang tidak lebih daripada kempen pembangkang, dengan bantuan NGO yang menyokong mereka, untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang. Isu memainkan peranan penting dalam mana-mana pilihan raya.

Malangnya, pembangkang bukan saja ketandusan isu untuk menimbulkan kebencian rakyat kepada kerajaan, malah menghadapi banyak masalah dalaman yang menghakis kepercayaan rakyat. Bantahan projek RAPID adalah cubaan terbaru memesong perhatian rakyat daripada melihat kejayaan kerajaan dan menilai kelemahan pembangkang. -BH

0 comments:

Catat Ulasan