UMNO Sabah Diminta Perhebat Persediaan Hadapi PRU ke-13


KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman mahu semua ketua bahagian UMNO di Sabah memperhebatkan jentera masing-masing dalam usaha meraih kemenangan besar pada pilihan raya umum ke-13. 

Beliau juga mahu semua bilik operasi berada dalam keadaan bersedia bagi menghadapi pilihan raya yang akan diadakan pada bila-bila masa. 

UMNO Sabah sedang giat menganjurkan mesyuarat dan kursus di setiap daerah mengundi bagi memperkemas persediaan parti, dan setakat ini separuh daripada 25 bahagian sudah mengadakan mesyuarat dan kursus masing-masing, katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Sabah, di sini malam tadi.

Turut hadir Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak, Setiausaha badan itu Datuk Yahya Hussin, Bendahari UMNO Sabah, Datuk Hajiji Noor dan Ketua Penerangan Datuk Sapawi Ahmad. 

Pada pilihan raya umum lepas, BN Sabah yang ditunjangi UMNO hampir menyapu bersih 60 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) serta 25 kerusi Parlimen dan hanya tewas di kerusi DUN Sri Tanjung (Tawau) dan Parlimen Kota Kinabalu. 

Sementara itu, Musa berkata, beliau turut memberi taklimat kepada ketua-ketua bahagian UMNO Sabah mengenai atur cara lawatan Perdana Menteri ke negeri ini pada esok dan lusa. 

Beliau berkata, beberapa program sudah disusun sempena lawatan Perdana Menteri ke tiga daerah iaitu Penampang, Ranau dan Kudat. 
Sehubungan itu, Musa mahu anggota UMNO khususnya ketua-ketua bahagian supaya hadir bagi menjayakan program terbabit. - BERNAMA

0 comments:

Catat Ulasan